‘Buka ruang untuk Zahid dapat pembelaan saksama’ – peguam

‘Buka ruang untuk Zahid dapat pembelaan saksama’ – peguam

Nahar Tajri

PIHAK pendakwaan perlu membuka ruang untuk memastikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui proses pengadilan yang saksama dalam perbicaraan kes, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi. 

Perkara itu dinyatakan peguam bela Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, berhubung dokumen siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diklasifikasikan sebagai Akta Rahsia Rasmi (OSA) oleh pihak pendakwaan berhubung keterangan saksi ketiga pembelaan, Jefry Jamil, 38.

Hisyam berhujah, dokumen kenyataan Jamil yang juga Pengarah Syarikat Teknik Sempurna Sdn Bhd iaitu kontraktor bagi pembinaan masjid Salimah Khamis yang dibiayai Yayasan Akalbudi, sudah diklasifikasikan sebagai OSA pada 2 Mac 2021.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan pendakwaan untuk memulakan prosiding bagi mencabar kebolehpercayaan saksi Ahmad Zahid yang dikatakan memberikan keterangan bercanggah.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya berhasrat memulakan prosiding itu terhadap Jefri mengikut Sekyen 155 Akta Keterangan 1950.

Difahamkan permohonan itu dibuat pendakwaan kerana keterangan Jefri yang membacakan pernyataan saksinya di mahkamah hari ini, dikatakan bercanggah dengan kenyataan yang diberikan beliau kepada pihak SPRM pada 2018.

Bagaimanapun permohonan itu dibantah oleh Hisyam yang berhujah bahawa pihak pendakwaan tidak boleh memulakan prosiding mencabar kebolehpercayaan saksi itu.

Ini kerana katanya, pihaknya pernah memohon untuk mendapatkan dokumen  berkenaan tetapi ditolak mahkamah sebelum ini dengan alasan ia tertakluk di bawah OSA.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian memutuskan pendakwaan boleh memulakan prosiding itu kerana Seksyen 155 membenarkan pendakwaan untuk mencabar kebolehpercayaan saksi dan ia tidak menyentuh sama ada dikumen berkenaan diklasifikasikan mengikut OSA atau tidak. – Malaysiapost

Komen