Caprice mahu hadiah Kia Sportage, minyak percuma buat peminat

Caprice mahu hadiah Kia Sportage, minyak percuma buat peminat

PENYANYI rap, Caprice berhasrat untuk memberikan sebuah kereta miliknya secara percuma kepada peminat dan pengikut bertuah, pada jam 3 petang esok.

Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 34, memaklumkan dia akan melakukan sesi cabutan dan memberikan kereta berjenama Kia Sportage itu secara percuma.

Menerusi hantaran di Insta Story, Caprice berkata tindakannya itu susulan tuntutan saman dikemukakan oleh ahli perniagaan Datuk SM Faisal Nasimuddin Kamal terhadapnya.

“Jumaat ini saya akan membuat giveaway Kia Sportage saya secara percuma sebagai cabutan bertuah kepada pengikut saya.

“Siapa-siapa berminat nak kereta pacuan empat roda (four wheel drive secara percuma. Bersedia jam 3 petang Jumaat (esok) ini,” tulis Caprice.

Dalam perkembangan sama, Caprice memberitahu mahu memberi petrol secara percuma kepada peminatnya di stesen minyak Petronas Jalan Jelatek II, Kampung Datuk Keramat, pada jam 2.30 petang esok.

Sebelum ini, media melaporkan SM Faisal memfailkan saman terhadap Caprice atas dakwaan memuat naik hantaran berbaur fitnah di Instagram miliknya pada 28 Jun lalu.

Dalam rakaman video rangkuman yang sering dibuat, Caprice telah mengaitkan ahli perniagaan berkenaan dengan kes membabitkan bekas isteri iaitu Emilia Hanafi.

Pada Selasa, Caprice mengakui sudah menerima surat saman itu dua bulan lalu dan menyerahkan kepada pihak peguam bagi menyelesaikan kes berkenaan.

Penyanyi itu turut memaklumkan sudah bersedia berhadapan dengan kes tersebut di mahkamah dan sama sekali tidak akan membuat permohonan maaf atau memadam video berkenaan.

Untuk info, SM Faisal didakwa menyebabkan kecederaan terhadap bekas isterinya, Emilia Hanafi di sebuah kediaman di Desa Sri Hartamas, Brickfields, Kuala Lumpur antara pukul 12.30 tengah hari dan 4.30 petang pada 22 November 2015. – Malaysiapost

Komen