‘Dedah 19 perkara penting ditemui dalam buku Thommy Thomas’ – Ahmad Maslan

‘Dedah 19 perkara penting ditemui dalam buku Thommy Thomas’ – Ahmad Maslan

SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan menggesa kerajaan untuk mendedahkan 19 perkara penting yang ditemui oleh Pasukan Petugas Khas berkenaan buku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bertajuk ‘My Story: Justice In The Wilderness’.

Beliau berkata, terdapat ratusan laporan polis dibuat terhadap buku bekas Peguam Negara itu.

“Pada awal Februari 2021 ratusan laporan polis telah dibuat terhadap Tommy Thomas dan bukunya ‘My Story: Justice In The Wilderness’.

“Saya ditemani oleh sekumpulan peguam juga telah membuat laporan polis yang panjang lebar dan telah pun disiasat oleh beberapa pegawai polis,” katanya dalam ciapan di Twitter.

Ahmad berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyebut bahawa ada 19 perkara penting yang ditemui dalam buku tersebut.

“Pada 29 Ogos 2022, Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyebut bahawa ada 19 perkara penting ditemui oleh Pasukan Petugas Khas yang kerajaan tubuhkan.

“Maka dipohon dan diminta agar kerajaan mendedahkan apakah 19 perkara itu kepada rakyat. Terima kasih,” katanya.

Terdahulu, Thommy menerbitkan memoir bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’ pada Januari 2021 yang mengundang kritikan banyak pihak.

Ia susulan pendedahan dan dakwaan membabitkan pelbagai isu termasuk pelantikan hakim, campur tangan melampau badan eksekutif dalam sistem kehakiman dan pendakwaan terpilih. – Malaysiapost

Komen