Fazura, Fattah terima potret keluarga daripada Sultan Selangor, Permaisuri

Fazura, Fattah terima potret keluarga daripada Sultan Selangor, Permaisuri

PASANGAN pelakon dan usahawan terkenal, Fazura dan suami Fattah Amin, sekali lagi menerima hadiah iaitu sebuah potret mereka sekeluarga dari Istana.

Menerusi hantaran di Instagram, pemilik nama sebenar Nur Fazura Sharifuddin, 38, memaklumkan potret berkenaan adalah kurniaan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Malah, Fazura turut memuat naik beberapa keping gambar di samping potret berkenaan.

“Patik sekeluarga merafak sembah serta menjunjung kasih di atas kurniaan DYMM Tuanku Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor berupa sebuah potret kami sekeluarga yang sangat cantik.

“Patik sekeluarga berasa sangat terharu dan bersyukur di atas kurniaan yang amat bermakna ini. Kenangan ini amat bernilai buat patik sekeluarga dan akan diabadikan selamanya. Junjung kasih Tuanku,” tulisnya.

Sebelum ini, Fazura dan Fattah pernah diamanahkan sebagai pembawa kek untuk memberi kejutan manis pada hari majlis ulang tahun kelahiran Tengku Permaisuri Selangor Jun lalu.

Pasangan itu juga pernah menerima beberapa barangan istimewa kiriman Permaisuri Selangor sebelum ini seperti syiling emas dan naskhah al-Quran.

Dalam hantaran sama, rata-rata netizen termasuk rakan artis turut berkongsi kegembiraan dengan pasangan berkenaan dan mendoakan kebahagian mereka sekeluarga. – Malaysiapost

Komen