Guan Eng senarai 10 menteri gagal

Guan Eng senarai 10 menteri gagal

PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil tindakan terhadap kegagalan 10 menteri Kabinetnya dalam melaksanakan tugas.

Ahli Parlimen Bagan itu, berkata seramai 10 Menteri dalam Kabinet Ismail Sabri ‘menonjol’ kerana gagal mencapai ‘gred’ sebagai menteri.

“Pertama, Menteri Pertahanan (Datuk Seri) Hishamuddin Hussein kerana menyelia pembelian RM9 bilion perolehan kapal tempur pesisir (LCS) dan skandal perolehan pertahanan lain yang melibatkan berbilion ringgit.

“Skandal paling keterlaluan ini melibatkan pembayaran RM6 bilion tanpa satu kapal pun siap. Malah, Hishamuddin telah melancarkan LCS yang tidak lengkap pada 2017 dengan tiang palsu berharga RM400,000 yang kemudiannya dilupuskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Malah, Guan Eng mengulangi pendiriannya menyifatkan tiga Menteri PAS iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai tidak cekap.

“Kelima, Menteri Sumber Manusia (Datuk) M Saravanan kerana gagal menunaikan janjinya untuk menyelesaikan kekurangan buruh asing

“Keenam, Menteri Pengangkutan (Datuk Seri Dr) Wee Ka Siong kerana berdegil menolak untuk memberikan pengecualian kepada dasar kabotaj yang akan membenarkan kapal asing membaiki kabel dasar laut, menyebabkan kerugian berbilion ringgit pelaburan digital.

“Selain, memberikan fakta salah yang begitu menyedihkan mengenai nahas helikopter baru-baru ini di Bidor,” katanya.

Guan Eng turut menyenaraikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun sebagai ‘menteri gagal’.

Ini kerana, katanya, Rina didakwa gagal mempertahankan maruah wanita dan menutup mata terhadap diskriminasi gender.

“Kelapan, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa kerana gagal membendung inflasi apabila beliau mengambil alih pasukan petugas khas Kabinet menangani inflasi pada Jun tetapi inflasi dan inflasi makanan meningkat.

“(Selain itu), Menteri Wilayah Persekutuan (Datuk Seri) Shahidan Kassim kerana gagal mencari penyelesaian ke arah kesesakan lalu lintas yang semakin teruk dan projek tebatan banjir di Kuala Lumpur.

“Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mustapa Mohamed juga gagal menguruskan ekonomi berkaitan pengendalian inflasi dan kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar AS, dolar Singapura dan rupiah Indonesia,” katanya.

Sehubungan itu, Guan Eng mempersoalkan adakah Perdana Menteri akan memilih untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) tahun ini untuk menutup prestasi kegagalan kerajaan.

“Adakah Ismail akan melakukan apa yang sepatutnya terhadap Menteri-menteri yang gagal ini untuk mengurangkan penderitaan rakyat Malaysia?,” soalnya. – Malaysiapost

Komen