Jangan beri layanan istimewa kepada ‘Merpati’ – A Kadir Jasin

Jangan beri layanan istimewa kepada ‘Merpati’ – A Kadir Jasin

KERAJAAN digesa agar tidak berlembut dan memberi layanan berbeza kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara.

Wartawan veteran A Kadir Jasin, berkata rakyat ingin melihat pemimpin yang didapati bersalah itu dilayan seperti banduan lain termasuk memakai seragam penjara .

Beliau mengulas mengenai mesej tular mendakwa Najib yang diberi kod nama ‘Merpati’ menerima pelbagai keistimewaan hanya selepas beberapa hari dipenjarakan.

“Beberapa hari saja selepas masuk penjara, ‘Merpati’ dihantar ke Hospital Rehabilitasi Cheras kononnya untuk rawatan kesihatan.

“Logiknya dia jalani rehabilitasi akhlak di penjara macam ‘burung-burung jel’ yang lain. Sekarang ini ada kira-kira 70,000 banduan dalam sistem penjara kita. Orang ramai hendak tengok merpati dilayan macam banduan lain.

“Hari ini banyak orang tidak percaya lagi kepada kenyataan Menteri dan Jabatan Penjara melainkan mereka nampak gambar tulen merpati berpakaian seragam penjara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, banduan tetap seorang banduan tidak kira status mereka sebelum menjadi banduan, namun jenayah seseorang itu dan kesannya ke atas masyarakat adalah berbeza.

“Misalnya banduan yang bersalah melakukan perbuatan bastialisme dengan kambing, kesannya ke atas masyarakat hampir tidak ada.

“Tapi seorang Perdana Menteri yang menyeleweng berpuluh juta ringgit duit tabung pencen kakitangan awam meninggalkan kesan yang sangat buruk,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan tidak perlu memberi keistimewaan kepada mana-mana banduan dan menjadikannya ikutan kepada pemimpin lain yang didapati bersalah kelak.

“Jadi cukuplah kerajaan berlembut dan memberi layanan berbeza kepada ‘merpati’. Janganlah jadikan layanan berbeza kepada merpati sebagai duluan (precedent) untuk bakal-bakal ‘jailbird’ kelas kayangan yang lain.

“Manalah tahu mereka pun akan mengikuti merpati ke penjara,” katanya. – Malaysiapost

Komen