Jangan buat PRU15 untuk selamatkan ahli politik

Jangan buat PRU15 untuk selamatkan ahli politik

Ben Ibrahim

TINDAKAN mendesak pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) ketika musim banjir adalah sikap tidak bertanggungjawab.

Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung berkata desakan itu juga dilihat sebagai satu usaha menyelamatkan pemimpin politik tertentu yang berdepan kes mahkamah.

Beliau juga tidak faham motif sebenar pimpinan Umno tergesa-gesa meminta pilihan raya diadakan sebelum akhir tahun ini.

“Keputusan mengadakan pilihan raya ketika banjir adalah tidak masuk akal dan jelas merugikan jutaan rakyat yang mungkin menjadi mangsa banjir.

“Mungkinlah mereka mahu cepat buat PRU15 dan boleh menyelamatkan seorang dua yang ada kes mahkamah,” katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.

Chean Chung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini pernah mengumumkan pelaksanaan PRU15 bakal menelan belanja hingga RM1 bilion.

“Anggaran itu jika (PRU15) diadakan di luar musim banjir, kalau diteruskan juga, kosnya boleh meningkat 10 peratus lagi.

“Ini bermaksud, tambahan RM100 juta dan duit sebanyak itu lebih baik digunakan untuk kerja naik taraf longkang atau sistem perparitan bagi menghalang atau mengawal kesan buruk akibat banjir,” katanya lagi.

Mengulas kenyataan dibuat Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 17 September lalu, kononnya jentera parti itu sanggup meredah banjir, Chean Chung berkata, perkara itu adalah sangat tidak sensitif dan memalukan.

“Adakah Presiden Umno tidak memikirkan perasaan mangsa banjir ketika berucap dalam majlis itu. Ini adalah satu pemikiran songsang dan tidak peka kepada rakyat yang pernah menjadi mangsa banjir,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Suara Keadilan

Komen