KKM umum langkah tambah baik jaminan kerjaya jururawat

KKM umum langkah tambah baik jaminan kerjaya jururawat

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan sejumlah 1,136 jururawat keluaran Institut Latihan KKM yang berstatus lantikan kontrak akan diperakukan ke pelantikan tetap dalam tempoh suku keempat tahun ini dan suku pertama tahun 2023.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata pelantikan tetap itu adalah usaha kerajaan dalam menambah baik jaminan Kerjaya bagi kakitangan KKM serta meningkatkan kualiti perkhidmatan.

Beliau berkata, proses perakuan pelantikan ke jawatan tetap bagi sejumlah 2,804 jururawat swasta pula, yang sebelum ini dilantik secara kontrak dan Masih berkhidmat di KKM dalam menyokong perkhidmatan Kesihatan khususnya menangani pandemik Covid-19, akan dibuat secara berfasa kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“Bagi jururawat Gred U29 dan U32 yang memiliki kelayakan akademik Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan, secara prinsipnya pegawai tersebut boleh dipertimbangkan pelantikan ke Gred U41 atau kenaikan pangkat ke Gred U41 dan KKM sedang melaksanakan beberapa langkah mengenainya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, antara langkah yang dilaksanakan adalah menawarkan kenaikan pangkat ke Gred U41 kepada 110 jururawat yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejururawatan yang diiktiraf kerajaan dan memenuhi syarat tempoh perkhidmatan sebagaimana syarat iklan dimana tawaran yang dibuat pada 17 Oktober lalu itu membabitkan 50 jururawat Gred U32 dan 60 jururawat Gred U36.

“Selain itu, sebanyak 49 jawatan jururawat Gred U41/U42/U44 lagi akan diisi menerusi pengambilan tetap oleh SPA yang akan dilaksanakan pada suku pertama tahun 2023.

“KKM turut mengunjurkan sebanyak 226 jawatan jururawat Gred U41/U42/U44 diwujudkan dalam tempoh 2023 hingga 2025 membabitkan 63 jawatan pada 2023, pada 2024 (125 jawatan) dan pada 2025 (38 jawatan).

“Jumlah ini tidak termasuk unjuran pewujudan sebanyak 7,434 jawatan jururawat Gred U29, Gred U32 dan U36 dalam tempoh yang sama,” katanya.

Khairy berkata, berdasarkan unjuran pewujudan sebanyak 226 jawatan jururawat Gred U41, U42 dan U44 itu, KKM akan menguruskan pelantikan tetap dan menawarkan kenaikan pangkat kepada pegawai yang layak mengikut tahun berkenaan.

Sementara itu, beliau berkata dalam usaha memastikan penyampaian perkhidmatan di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) dan Klinik Desa yang cekap dan berkesan, KKM juga telah mengemukakan permohonan untuk memfleksikan jawatan jururawat masyarakat Gred U19 kepada jawatan jururawat masyarakat Gred U19/jururawat Gred U29.

“Pindaan ini dibuat bagi membolehkan seramai 1,406 jururawat masyarakat Gred U19 yang telah lulus kursus Diploma Kejururawatan Peningkatan Secara Lantikan (PSL) ditawarkan pelantikan tetap dan Kekal mengisi jawatan sedia ada sebagai jururawat Gred U29.

“Sehingga kini, sejumlah 2,775 perjawatan jururawat masyarakat Gred U19 masih kosong dan permohonan untuk memfleksikan jawatan ini akan membolehkan jawatan tersebut diisi oleh graduan jururawat dari Institut Latihan KKM mahupun swasta,” katanya.

Khairy berkata, menerusi keputusan itu dan selari dengan peredaran masa serta keperluan fasiliti, jawatan jururawat masyarakat akan dijumudkan secara berperingkat.

“Jururawat masyarakat sedia ada juga akan ditawarkan kursus Diploma Kejururawatan PSL yang dilaksanakan secara sepenuh masa dalam tempoh setahun.

“KKM menggalakkan jururawat masyarakat untuk mengikuti kurus ini supaya mereka boleh dipertimbangkan peningkatan dalam kerjaya sebagai jururawat Gred U29,” katanya.- Malaysiapost

Komen