LUAS kesan bau seakan diesel di Sungai Gong

LUAS kesan bau seakan diesel di Sungai Gong

RONDAAN Skuad Pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menemukan bau seakan diesel di kawasan Sungai  Gong, Shah Alam semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian, berkata jarak lokasi pencemaran bau dikesan ke muka sauk loji rawatan air (LRA) terhampir iaitu muka sauk LRA Rantau Panjang adalah 20 kilometer.

“Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd ( Air Selangor ) siap siaga dengan pencegahan bagi sebarang kemungkinan di muka sauk. Siasatan LUAS dilakukan di sekitar kawasan yang mempunyai aliran masuk ke dalam sungai ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Loy Sian berkata, LUAS juga mendapati terdapat penemuan bau seakan diesel di kawasan hulu Sungai Gong yang berkemungkinan dari kawasan premis industri .

Bagaimanapun, katanya lagi, siasatan bersama Air Selangor juga mendapati terdapat sisa minyak diesel ke dalam saliran longkang sebuah stesen minyak di kawasan Taman Bayu Permai.

“Pensampelan di lokasi berkenaan dilakukan dan akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau berkata LUAS telah mengeluarkan arahan kepada premis terlibat berdasarkan Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 untuk mengalihkan apa-apa bahan pencemar yang berpontensi mencemarkan air sungai.

Katanya, berdasarkan rekod, sehingga kini tiada henti tugas LRA dilaporkan oleh pihak Air Selangor. -Malaysiapost

Komen