Muhyiddin cuba sabotaj Ismail Sabri, kerajaan – Zahid

Muhyiddin cuba sabotaj Ismail Sabri, kerajaan – Zahid

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuktikan sebuah ketidakstabilan kerajaan serta berbaur sabotaj.

Beliau berkata, sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Muhyiddin sepatutnya tahu kenyataan negatif terhadap Ismail Sabri akan memberi kesan terhadap prestasi kerajaan di mata dunia.

“Bagaimana pelabur asing boleh meyakini Malaysia sebagai sebuah destinasi pelaburan apabila Pengerusi MPN menyatakan yang buruk tentang kerajaannya sendiri.

“(Sebagai) Pengerusi PN (Muhyiddin) seharusnya ‘cermin diri’ apabila menggambarkan Perdana Menteri sedia ada sebagai gagal sedangkan negara berdepan kegagalan teruk semasa beliau menjadi Perdana Menteri ketika itu,” katanya menerusi Facebook.

Malah, Ahmad Zahid menyifatkan ketidakstabilan yang berlaku itu akan menyulitkan kerajaan untuk berfungsi sebagai sebuah pasukan dalam mendepani cabaran semasa dan akan datang.

“Ketidakstabilan itu yang memperjudikan nasib serta masa depan rakyat dan negara ekoran tiada kebersamaan dalam kalangan pembuat dasar.

“Pentadbiran kerajaan saling tuduh menuduh memberi gambaran negatif kepada pelabur sekali gus menyukarkan usaha negara bangkit daripada kemusnahan pandemik,” katanya.

Justeru, Ahmad Zahid berkata, rakyat seharusnya boleh menilai tentang kebenaran yang dibangkitkan Umno mengenai ketidakstabilan yang wajib dipulihkan.

“Ia amat mustahak direalisasikan segera kerana sebuah kerajaan yang kukuh sangat diperlukan bagi mendepani risiko kemelesetan ekonomi dunia yang diramalkan tahun depan.

“Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) baru-baru ini tidak menolak kemungkinan kemelesetan ekonomi global akan berlaku pada tahun 2023.

“Prospek ekonomi global malah dilaporkan telah ‘menjadi gelap dengan ketara’ sehingga mendorong unjuran pertumbuhan ekonomi global diturunkan pada 3.6 peratus,” katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid menegaskan Malaysia perlu berada pada kedudukan paling kukuh dan stabil termasuk dalam aspek tadbir urus bagi membentengi negara daripada risiko itu.

“Kemelesetan ekonomi global jika terjadi dan gagal diuruskan dengan berkesan boleh mengundang implikasi besar kepada kemaslahatan rakyat keseluruhannya,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid lagi, Malaysia juga tidak boleh meletakkan harapan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk memulihkan negara kerana kerosakan ekonomi telah pun bermula seawal mereka memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Ironinya, Pengerusi MPN merangkap Pengerusi PN juga merupakan sebahagian anggota Kabinet Kerajaan PH ketika itu. Apakah individu yang pernah gagal berkali-kali layak menuduh individu lain sebagai gagal jua?,” soalnya. – Malaysiapost

Komen