PDRM tubuh pasukan khas tangani isu sindiket penipuan pekerjaan luar negara – KDN

PDRM tubuh pasukan khas tangani isu sindiket penipuan pekerjaan luar negara – KDN

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menyatakan komitmen dalam membantu dan menyelesaikan isu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara disebabkan oleh sindiket penipuan pekerjaan luar negara.

Dalam satu kenyataan hari ini, KDN memaklumkan isu berkenaan turut dibangkitkan melalui platform Mesyuarat Plenari Menteri-Menteri Keselamatan ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-16.

Menurut KDN, mesyuarat anjuran kerajaan Kemboja selaku Pengerusi ASEAN tahun 2022 diadakan semalam secara sesi sidang dalam talian dan disertai oleh 10 negara ASEAN, Negara Rakan Dialog ASEAN serta Sekretariat ASEAN.

“Mesyuarat ini turut disertai Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, mewakili Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan pegawai-pegawai kanan KDN,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, melalui platform sama, KDN turut memaklumkan tentang penubuhan pasukan petugas khas di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang giat menjalankan tindakan bagi menangani isu sindiket penipuan pekerjaan luar negara itu.

Menurutnya, PDRM juga bekerjasama dengan Interpol, Aseanpol dan agensi penguatkuasaan lain.

“Timbalan Perdana Menteri Kemboja, Samdech Kralahom Sar Kheng yang juga merangkap Menteri Dalam Negeri Kemboja yang mengetaui delegasi negara jiran itu, memberikan maklum balas positif.

“Dengan menyatakan komitmen untuk menyelamatkan mangsa serta bersama-sama dengan negara-negara yang terlibat bagi membanteras sindiket penipuan pekerjaan yang beroperasi di Kemboja,” katanya. – Malaysiapost

Komen