Pelajar UiTM terlibat nahas bersama 4 rakan kini stabil

Pelajar UiTM terlibat nahas bersama 4 rakan kini stabil

SEORANG pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang cedera parah dalam nahas di Kilometer 396 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Ulu Bernam, kini dilaporkan stabil.

UiTM dalam satu kenyataan memaklumkan, keadaan kesihatan pelajar berkenaan disahkan oleh keluarga mangsa dan pihak hospital.

“Laporan awal jam 5:35 pagi melaporkan bahawa lima mahasiswi berusia 21 tahun telah dihantar ke Hospital Slim River menggunakan ambulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Satu mangsa dilaporkan cedera parah dan tersepit di bahagian hadapan dan empat lagi mengalami cedera ringan.

“Hasil siasatan penuh mendapati pelajar yang cedera parah iaitu Nur Nabila Binti Mohd Noorazam merupakan pelajar tahun kedua Sarjana Muda Muamalat (Kepujian) (IC210) dari Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Shah Alam,” menurut kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu berkata, Nur Nabila telah mendapat rawatan simen di kaki kirinya dan masih dalam pemantauan pihak hospital, manakala empat lagi mangsa yang mengalami kecederaan ringan merupakan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) lain.

Empat lagi mangsa merupakan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Universiti Malaya (UM), Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan University of Yarmouk, Jordan.

Katanya, kelima-lima mangsa yang terlibat dalam kemalangan sebenarnya dalam perjalanan dari Sri Iskandar ke Kuala Lumpur untuk urusan peribadi.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor dan seluruh warga UiTM menzahirkan simpati serta mendoakan kesemua mangsa segera pulih agar dapat kembali ke kampus bagi meneruskan pengajian masing-masing.

Terdahulu, media melaporkan lima pelajar terlibat nahas di Lebuhraya Utara Selatan, awal pagi tadi.

Kemalangan tersebut melibatkan sebuah Proton Saga yang dinaiki lima pelajar perempuan berusia 21 tahun, telah terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

Akibat kemalangan tersebut seorang daripada mereka tersepit di bahagian hadapan dan mengalami kecederaan parah. – Malaysiapost

Kredit Foto: JBPM

Komen