Pendakwah muda harus bina kekuatan ilmu, bentengi diri daripada fitnah – Idris

Pendakwah muda harus bina kekuatan ilmu, bentengi diri daripada fitnah – Idris

PENDAKWAH muda memegang tanggungjawab besar memikul amanah agama dan sekiranya tersilap langkah ia akan mengundang fitnah, kata Datuk Idris Ahmad.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu juga mengingatkan golongan itu bahawa mereka memegang tanggungjawab besar dalam institusi masyarakat Islam termasuk dalam pengisian dakwah dan motivasi.

Justeru, Idris berkata, pendakwah muda khususnya yang lahir daripada program realiti harus sentiasa membina kekuatan ilmu serta jangan berhenti belajar.

“Kedua, sentiasa memantapkan diri dengan pengisian ruhiyyah. Bacaan al-Quran, zikir al-Mathurat jangan diabai. Ia sumber kekuatan dalaman.

“Ketiga, sentiasa bersahabat dengan agensi agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam dan Jabatan Mufti,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Terdahulu, Idris beramah mesra dan mengadakan sesi dialog dengan para pendakwah muda yang lahir daripada program realiti di pejabatnya, semalam.

Dalam pada itu, Idris berkata, beliau percaya dengan ukhuwah dan semangat saling nasihat-menasihati kumpulan pendakwah muda mampu saling menjaga diri dan menjalankan tanggunjawab diamanahkan.

“Banyak idea kreatif yang mereka kongsikan untuk perhatian kami di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama dalam menggerakkan dakwah kepada masyarakat.

“Saya telah meminta JAKIM untuk membuat program khusus bersama pendakwah muda seperti ssrah bulanan. Ia boleh menjadi medan tarbiyyah kepada semua,” katanya.

Idris juga mengingatkan pendakwah muda supaya meneruskan usaha dakwah bagi membimbing ummah.

“Semoga Allah SWT merahmati pertemuan kita. Teruskan usaha menjadi mata rantai perjuangan Nabi Muhammad SAW sehingga ke akhir hayat,” katanya. – Malaysiapost

Komen