PRU15 sempat diadakan sebelum musim banjir – Asyraf Wajdi

PRU15 sempat diadakan sebelum musim banjir – Asyraf Wajdi

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berpandangan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) masih sempat diadakan sebelum musim banjir tahun ini, sekiranya pembubaran Parlimen dibuat pada awal Oktober.

Beliau berkata, sekiranya ramalan banjir yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjadi sandaran banyak pihak ketika ini, maka PRU15 masih boleh diadakan sebelum bencana itu berlaku pada penghujung November ini.

“Ramalan MetMalaysia (yang menjadi nas utama masa kini) boleh menjadi landasan yang paling kuat supaya Dewan boleh dibubar awal Oktober terutamanya 7 sehingga 10 Oktober 2022.

“Umpamanya jika dibubar pada awal Oktober 2022, maka PRU15 dapat dan sempat dibuat pada awal November 2022, iaitu dua hingga tiga minggu sebelum ramalan hujan lebat,” katanya menerusi Facebook.

Asyraf Wajdi berkata, mengikut rekod PRU14 lalu, SPR mampu mengendalikan PRU dalam masa satu bulan selepas pembubaran Parlimen.

“Rekod PRU14 ialah, Parlimen dibubar pada 7 April 2018, dan SPR buat PRU pada 8 Mei 2018 (dalam masa kurang empat minggu ).

“Makanya, berdasarkan kepada rekod kerja SPR PRU yang lepas dan mengambil kira ramalan banjir MetMalaysia yang menjadi nas dan dalil utama masa kini, membuktikan kita masih sempat dan dapat mengadakan PRU sebelum musim banjir tahun ini jika dewan dibubar awal Oktober,” katanya.

Menurut Asyraf Wajdi, beliau menyokong PRU15 tidak wajar dibuat ketika banjir tetapi ia boleh dilaksanakan sebelum musim berkenaan

“MetMalaysia meramalkan banjir besar bakal berlaku pada penghujung November 2022.

“Maka ramailah yang mendesak terutamanya pembangkang supaya PRU15 ditangguhkan kerana membahayakan nyawa rakyat. (Parti MUDA siap nak buat demo Sabtu ini untuk bantah PRU waktu banjir).

“Saya juga bersetuju bahawa PRU wajar ditangguhkan jika banjir benar-benar berlaku. Persoalannya bolehkah PRU diadakan sebelum musim banjir?,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid menegaskan Barisan Nasional (BN) sanggup meredah banjir dan hujan lebat, jika PRU15 diadakan tahun ini.

Susulan kenyataan itu, Ahmad Zahid mendapat kecaman ramai termasuk daripada pemimpin pembangkang yang membantah perkara tersebut selain menyifatkan ia sebagai tidak bertanggungjawab serta berhati perut. – Malaysiapost

Komen