Selangor umum peruntukan khas persiapan banjir, adakan latihan simulasi

Selangor umum peruntukan khas persiapan banjir, adakan latihan simulasi

KERAJAAN negeri Selangor akan mengumumkan peruntukan khas bagi menambah peralatan seperti bot, jentera dan petugas dalam persiapan menghadapi bencana banjir, minggu depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata, keutamaan ketika ini adalah bagi memastikan nyawa dan kebajikan rakyat Selangor dipelihara.

Katanya, selain itu kerajaan negeri juga akan mengadakan latihan simulasi bencana banjir.

“Kita akan berikhtiar semampunya, semoga Allah SWT memberkati usaha kita. Insya Allah. Kerajaan negeri juga mengadakan latihan simulasi bencana banjir selama dua hari bermula minggu hadapan,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Semalam, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor mengeluarkan makluman sudah mengenal pasti 52 kawasan ‘hotspot’ banjir selain 307 kawasan berisiko banjir di negeri ini.

Menerusi grafik kawasan berisiko banjir dan hotspot bagi persediaan air pasang besar dan Monsun Timur Laut dikeluarkan baru-baru ini, kawasan berisiko berkenaan ditentukan berdasarkan kekerapan kejadian bencana banjir sebelum ini. – Malaysiapost

Komen