Tidak dibenar beraksi dalam Piala Malaysia, Melaka United mohon maaf

Tidak dibenar beraksi dalam Piala Malaysia, Melaka United mohon maaf

KELAB Bolasepak Melaka United FC (MUFC) memohon maaf kepada semua pemain, jurulatih, pegawai serta penyokong kerana pasukan itu tidak dibenar beraksi dalam Piala Malaysia 2022 susulan gagal melunaskan tunggakan gaji.

Dalam satu kenyataan media, MUFC juga mengambil maklum berhubung pembatalan slot TM Piala Malaysia 2022 oleh pihak Malaysian Football League (MFL) berikutan isu sama.

Melaka United FC (MUFC) memohon maaf kepada semua pemain, jurulatih, pegawai serta penyokong kerana pasukan itu tidak dibenar beraksi dalam Piala Malaysia 2022 susulan gagal melunaskan tunggakan gaji.

“Untuk pengetahuan, kelab masih berusaha untuk menyelesaikan semua masalah yang dihadapi dan percaya krisis yang berlaku ketika ini dapat diselesaikan jika semua pihak berkepentingan bersama-sama membantu dalam memastikan kebajikan pemain, jurulatih dan pegawai pasukan yang akhirnya menjamin kelestarian kelab.

“Proses penstrukturan saham dan mendapatkan dana dari pihak berkepentingan yang masih belum selesai ini juga menyebabkan pihak pengurusan kelab membuat keputusan supaya perkara ini dapat diselesaikan terlebih dahulu dan keutamaan diberikan untuk MUFC kekal berada di Liga Malaysia tahun hadapan.

“Kelab dengan ini memohon maaf kepada semua para pemain, jurulatih dan pegawai yang terlepas untuk beraksi dalam saingan berprestij bola sepak negara iaitu Piala Malaysia musim ini serta para penyokong dan peminat yang menjadi tulang belakang pasukan selama ini,” menurut kenyataan itu.

Menurut MUFC, pihak pengurusan juga mengambil iktibar daripada isu itu dan akan terus memandang ke hadapan bagi memastikan pasukan berkenaan memperoleh lesen bagi menyertai Liga Malaysia 2023.

Terdahulu MFL dalam satu kenyataan semalam mengumumkan MUFC tidak dibenar beraksi dalam Piala Malaysia 2022 susulan gagal melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawainya.

Keputusan dibuat Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas kelab Liga Super itu gagal menyelesaikan bayaran tunggakan gaji seperti tarikh ditetapkan.

Menurut MFL, pasukan berkenaan telah menerima notis peringatan pada 6 September lalu untuk menyelesaikan tunggakan gaji atau mendapat persetujuan bersama sehingga 20 September, namun gagal melaksanakannya. – Malaysiapost

Komen