Agong berkenan hadiri majlis bacaan Yasin, khutbah khas sempena Hari ATM 

Agong berkenan hadiri majlis bacaan Yasin, khutbah khas sempena Hari ATM 

YANG di-Pertuan Agong hari ini berkenan berangkat hadir majlis bacaan Yasin, tahlil dan Khutbah Khas Solat Jumaat sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke-89. 

Istana Negara menerusi kenyataan di Facebook, berkata majlis berlangsung di Masjid Khalid Bin Al-Walid di Kuala Lumpur dan disertai kira-kira 2,000 pegawai dan anggota ATM termasuk orang awam. 

Keberangkatan tiba Seri Paduka pada 12.40 tengah hari itu disambut Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan timbalannya, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz serta Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang. 

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan. 

Majlis dimulakan dengan bacaan Yasin dan tahlil dipimpin Timbalan Ketua Pengarah Dasar dan Pengurusan Kor Agama ATM (KAGAT) Brig Jeneral Mohamad Hamzah Adam. 

Ia kemudian diteruskan dengan penyampaian Khutbah Khas Solat Jumaat bertajuk ‘Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama’ disampaikan Ketua Pengarah KAGAT Mejar Jeneral Mohd Rashidi Bujai. 

Al-Sultan Abdullah berangkat pulang pada 2 petang selepas selesai menunaikan solat Jumaat dan beramah mesra bersama jemaah dan warga ATM yang hadir. – Malaysiapost

Komen