‘Anwar tidak terima layanan istimewa seperti Najib’ – Guan Eng

‘Anwar tidak terima layanan istimewa seperti Najib’ – Guan Eng

PENGERUSI DAP, Lim Guan Eng membangkitkan rasa tidak puas hati berhubung tuduhan penyokong Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menerima layanan istimewa ketika di penjara.

Guan Eng yang menyokong kenyataan Anwar bagi menafikan tuduhan itu, berkata beliau dan Presiden PKR tersebut melalui pengalaman sama iaitu tidur di lantai simen selama berminggu-minggu ketika dipenjara. 

“Betul kata Anwar, bahawa ketika dipenjarakan, beliau terpaksa tidur di atas lantai simen selama berminggu-minggu sebelum doktor menasihatkan supaya diberikan katil kerana keadaan belakangnya. 

“Saya dipenjarakan di Penjara Kajang pada 24 Ogos 1998 di bawah Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, juga tidur di atas lantai simen selama berminggu-minggu dengan selimut nipis sebelum akhirnya tilam nipis ditawarkan kepada saya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Malah, Guan Eng turut senada dengan Anwar yang berpendapat Najib perlu sekurang-kurangnya menjalani hukuman 10 tahun penjara dahulu, sekiranya mahu dipindahkan ke Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC).

“Anwar berkata beliau hanya dihantar ke HRC selepas menjalani lebih 10 tahun di dalam kurungan sendirian dan itu juga atas nasihat pakar perubatan selepas beliau menjalani pembedahan besar di bahu. 

“Anwar menambah jika Najib mahu dilayan sama, maka Najib perlu menjalani 10 tahun hukuman penjara dahulu, kemudian dibawa ke HRC,” katanya.

Malah, Guan Eng turut menyifatkan kenyataan Anwar itu sebagai jawapan terbaik kepada pemimpin MCA yang menyokong layanan istimewa yang diberikan kepada Najib.

“(Malah) seorang Timbalan Menteri MCA bertanya mengapa pengkritik mahu melihat Najib diseksa dan menderita di penjara. 

“Jika Najib diseksa dipenjara, pemimpin PH termasuk bekas banduan seperti Anwar dan saya sendiri akan menjadi orang pertama yang membelanya. 

“Tetapi adakah MCA mempunyai bukti bahawa Najib sedang diseksa?,” soalnya.

Menurut Guan Eng, apa yang menjadi isu ialah ialah layanan istimewa yang diberikan kepada Najib tidak pernah diberikan kepada Anwar atau dirinya ketika mereka dipenjarakan di Sungai Buloh dan Kajang.

“Najib mungkin merupakan banduan pertama yang dihantar ke HRC dalam tempoh sebulan selepas hukuman penjaranya bermula pada 23 Ogos. 

“MCA sentiasa menyokong Najib dan membuka ruang kepada rasuah. MCA telah mendapat manfaat daripada menerima dana 1MDB,” katanya. 

Semalam, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker membangkitkan persoalan mengenai budaya bermaaf-maafan yang dekat dengan orang Melayu serta Islam di negara ini dan mengaitkannya dengan Datuk Seri Najib Razak.

Kata Lian Ker, beliau kadang-kadang tidak dapat memahami perasaan kebencian yang ada pada orang politik di negara ini.

Menurut pemimpin MCA itu, beliau melihat ada antara mereka yang tidak jemu-jemu mahu melihat bekas perdana menteri berkenaan terseksa dan sengsara di penjara. – Malaysiapost

Komen