Berkat doa semua pihak – Zahid

Berkat doa semua pihak – Zahid

PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersyukur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini yang melepas dan membebaskannya daripada 40  tuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan terhadapnya selama ini.

“Alhamdulillah keputusan mahkamah telah diketahui sebentar tadi.

“Berkat doa semua pihak akhirnya hakim telah melepaskan dan membebaskan saya dari 40 tuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

“Terima kasih kepada semua sahabat yang datang dan sentiasa ada memberikan sokongan selama ini,” katanya ringkas dalam satu hantaran di Facebook sebentar tadi.

Terdahulu Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan melepas dan membebaskan Ahmad Zahid selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie di akhir pendakwaan.

Mohd Yazid memerintahkan Ahmad Zahid dibebaskan daripada semua tuduhan utama dan tuduhan pilihan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009/ Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Keputusan di akhir kes pendakwaan dibuat oleh Hakim Mohd Yazid selepas mahkamah selesai mendengar keterangan 18 saksi di mana pendakwaan menutup kesnya pada 11 Ogos lalu, dalam prosiding perbicaraan yang berlangsung selama 33 hari bermula pada 24 Mei tahun lalu.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 tuduhan menerima suapan SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN.

Sementara, bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu. – Malaysiapost

Komen