Bertanding di Putrajaya, ini jawapan Radzi Jidin… 

Bertanding di Putrajaya, ini jawapan Radzi Jidin… 

NAIB Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin tampil menjawab desas-desus beliau akan bertanding sebagai calon di Parlimen Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Menjawab pertanyaan wartawan, Menteri Kanan Pendidikan itu berkata kediamannya di Putrajaya adalah faktor beliau kerap dilihat menghadiri program rasmi di kawasan itu. 

“Rumah saya di sini jadi saya dengan masyarakat Putrajaya adalah jiran tetangga,” katanya dalam satu sidang media hari ini, lapor Utusan Malaysia. 

Beliau mengulas dakwaan dikatakan bakal bertanding menentang Bendahari Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selepas dilihat sering kali hadir pelbagai program rasmi kementerian dan komuniti sekitar kawasan berkenaan. 

Radzi bagaimanapun menafikan perkara tersebut dan pemilihan Putrajaya sebagai lokasi program adalah bagi memudahkan pergerakannya dari satu tempat ke tempat yang lain. 

Sementara itu, beliau menyerahkan keputusan untuk bertanding pada PRU15 kepada pucuk pimpinan termasuk mana-mana kawasan yang ditetapkan parti. 

Katanya, sebagai ahli Bersatu beliau hanya patuh dan mengikuti segala keputusan parti. 

“Seperti mana saya sebut sebelum ini berkaitan dengan tempat mana bertanding, apa sahaja ditetapkan oleh parti itulah yang saya ikuti. 

“Saya ini orang parti apa sahaja ditetapkan saya akan ikut,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Dr. Radzi Jidin

Komen