Bot karam di Mukah, 2 maut manakala 8 selamat dan seorang masih hilang

Bot karam di Mukah, 2 maut manakala 8 selamat dan seorang masih hilang

DUA penumpang bot yang karam di perairan Mukah, pada Selasa lalu dilaporkan meninggal dunia dan mayat kedua-duanya ditemui semalam, manakala lapan daripada keseluruhan 11 penumpang termasuk tekong ditemui selamat dan seorang masih hilang.

Pengarah Zon Maritim Bintulu Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad, berkata sehingga jam 5 petang semalam, keseluruhan 10 mangsa bot karam telah dijumpai.

Menurutnya, lapan mangsa ditemui masih hidup, manakala dua penemuan mayat dan hanya tinggal seorang lagi mangsa masih gagal dikesan.

“Pada jam 8.40 pagi semalam, empat mangsa yang hilang selamat dijumpai oleh bot nelayan di dalam kawasan sektor pencarian. Dipercayai, mangsa ditolak oleh arus sehingga ke pesisir pantai.

“Pada jam 10.30 pagi pula, satu mayat dijumpai oleh bot pemancing Himajaya dan kapal MT Capella telah membawa dua mangsa yang ditemui selamat kelmarin, tiba di Terminal Senari, Kuching Sarawak pada jam 11.12 pagi semalam.

“Jam 11.20 pagi, dua lagi mangsa selamat dijumpai oleh bot pemancing Himajaya dan yang terakhir pada jam 12.30 tengah hari, satu mayat dijumpai oleh bot Pasukan Polis Marin,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mangsa-mangsa yang selamat adalah, Wong Chiang Hie (pemancing), Lingsan bin Spawi (kru), Anuar Spawi (kru), Lewis Yung Koh Ing (pemancing), Chieng Hock Hung (pemancing), Wang Ting Ping (pemancing), Chong Fei Foo (pemancing) dan Lee Sie Soon (pemancing).

“Mangsa yang meninggal adalah Sabli Jun (tekong) dan Wong Siaw Tiang (pemancing). Mangsa yang masih gagal dijumpai pula adalah Wong Ikkong (pemancing).

“Semua mangsa adalah lelaki dan warga tempatan. Kesemua mangsa yang telah dibawa ke Hospital Mukah untuk rawatan lanjut dan tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa yang masih hilang sedang dijalankan membabitkan aset daripada pelbagai agensi untuk pencarian udara dan laut.

“Keluasan sektor pencarian pada hari pertama adalah 78.40 batu persegi. Cuaca di lokasi kejadian pada hari ini ombak dianggarkan 1.0 hingga 1.5 meter manakala angin bertiup dari Tenggara berkelajuan 20 hingga 30 kilometer per jam,” katanya.

Terdahulu 11 penumpang termasuk tekong dan pemancing dilaporkan masih hilang selepas bot dinaiki karam di perairan Mukah jam 8.30 malam Isnin lalu di kedudukan kira-kira 34 batu nautika dari Barat Laut Mukah.

Bot berkenaan dilaporkan telah keluar daripada jeti Penakub, Mukah pada 19 September lalu untuk memancing di laut. – Malaysiapost

Komen