Giliran Kaka Azraff hiasi papan iklan Times Square, New York

Giliran Kaka Azraff hiasi papan iklan Times Square, New York

SELEPAS wajah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Yuna, Aina Abdul kini giliran penyanyi Kaka Azraff, 33, menghiasi papan iklan gergasi Times Square, New York, Amerika Syarikat (AS) sempena kempen EQUAL oleh Spotify, semalam.

Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, berkata dirinya semakin berkobar-kobar kerana impian itulah diidamkannya sejak melihat rakan seperjuangan turut menghiasi papan iklan ikonik terbabit sebelum ini.

“Rasa macam tak percaya sangat. Bila melihat pencapaian itu, ia membakar lagi semangat saya untuk memberikan lebih usaha dalam kerjaya seni,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Baru melancarkan lagu Hilang, Kaka akui tidak pernah berhenti berangan dapat membuat persembahan di AS suatu hari nanti. Cita-cita besarnya adalah menyanyikan lagu Melayu di hadapan lokasi ikonik itu.

“Berangan itu percuma dan tidak salah. Siapa tahu, suatu hari nanti akan dapat peluang untuk beraksi di sana. Kalau artis dari Asia lain pun sudah merealisasikannya, pasti kita boleh juga.

“Saya bayangkan saya akan nyanyikan lagu-lagu sendiri dalam bahasa Melayu. Pastinya satu kebanggaan dapat berkongsi bahasa kita di depan khalayak di sana,” katanya.

Kini bergelar ibu kepada dua cahaya mata, Kaka kembali aktif semula dalam kerjaya seni namun pada masa sama pentingkan keseimbangan antara kerja dan masa peribadi bersama keluarga.

“Sekarang pasukan saya Warner Music Malaysia rancak promosikan Hilang. Sambutannya agak perlahan sedikit berbanding lagu terdahulu tapi harapnya mampu ke pentas-pentas berprestij seperti Anugerah Juara Lagu.

“Saya berazam terus rancakkan karier muzik sambil meluangkan masa sebaiknya bersama dua anak lelaki saya. Alhamdulillah, sesibuk mana pun sekarang, masa saya bersama mereka masih cukup,” katanya.

Selain Kaka, Siti Nurhaliza, Yuna dan Aina Abdul artis tanah air yang turut pernah menghiasi papan iklan gergasi terbabit ialah Dolla, Aisha Retno, dan Vanessa Reynauld. – Malaysiapost

Komen