Hari ini penentu nasib Zahid, bebas atau bela diri

Hari ini penentu nasib Zahid, bebas atau bela diri

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini akan menentukan sama ada pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap 40 tuduhan rasuah yang dihadapi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, berkaitan kontrak syarikat terbabit sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN).

Jika mahkamah memutuskan bahawa kes prima facie berjaya diwujudkan oleh pendakwaan, mahkamah akan mengarahkan Presiden Umno itu membela diri terhadap tuduhan berkenaan dan jika sebaliknya, Ahmad Zahid akan dilepas dan dibebaskan, lapor Berita Harian

Keputusan di akhir kes pendakwaan itu akan dibuat oleh Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa selepas mahkamah selesai mendengar keterangan 18 saksi di mana pendakwaan menutup kesnya pada 11 Ogos lalu, dalam prosiding perbicaraan yang berlangsung selama 33 hari bermula pada 24 Mei tahun lalu.

Antara saksi penting yang dipanggil memberikan keterangan adalah dua bekas Pengarah UKSB, Harry Lee Vui Khiun dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani; bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun dan Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, V Mahendran.

Sementara itu, mahkamah selesai mendengar hujahan pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran dan hujahan peguam bela Datuk Hisyam Teh Poh Teik awal bulan ini.

Dalam hujahan yang dikemukakan pembelaan, Hisyam bersandarkan kepada pertuduhan yang dikenakan ke atas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu adalah bersifat pendakwaan terpilih kerana ia hanya membabitkan sumbangan politik

Ini kerana menurut Hisyam, jika sumbangan politik menjadi asas dalam pertuduhan yang dikemukakan pendakwaan, nama beberapa ahli politik yang disebutkan menerima sumbangan daripada UKSB juga perlu disiasat.

Peguam itu mempersoalkan mengapa kesemua ahli politik terbabit tidak dihadapkan ke muka pengadilan dan anak guamnya sahaja didakwa sedangkan beliau (Ahmad Zahid) berada dalam situasi sama iaitu menerima dana politik.

Seorang lagi peguam Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal pula bersandarkan kepada hujahan bahawa tidak ada perkara luar biasa dalam permohonan perlanjutan kontrak UKSB dengan KDN yang dibuat lebih awal berbanding tempoh (tidak kurang) enam bulan sebelum tamat.

Menurut Ahmad Zaidi, ini adalah kerana, Setiausaha Bahagian (SUB) Parol di KDN, Siti Jalilah Abd Manap ketika disoal balas peguam bela, bersetuju bahawa permohonan perlanjutan itu boleh dibuat tiga tahun lebih awal.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 tuduhan menerima suapan SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN) mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.

Jika didapati bersalah, beliau boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Suapan yang diterima itu juga bagi mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama, oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu.

Raja Rozela pula yang mengemukakan hujahan bagi pendakwaan, menegaskan bahawa Ahmad Zahid selaku penjawat awam iaitu Menteri Dalam Negeri, tidak boleh menerima sumbangan wang atau barangan berharga mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Jelas Rozela, tindakan Ahmad Zahid menerima sumbangan seperti mempermainkan undang-undang sedia ada dan meminta mahkamah melihat tertuduh sebagai seorang penjawat awam dan sebagai pegawai badan awam serta bukannya sebagai seorang ahli politik.

Menurutnya, undang-undang sedia ada seperti Seksyen 165 Kanun Keseksaan, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Akta Cukai tidak mengiktiraf sumbangan politik kepada individu atas kapasitinya sebagai penjawat awam.

Beliau mempersoalkan logik bagi UKSB membuat bayaran bulanan kepada Ahmad Zahid dalam tempoh empat tahun ketika beliau menjadi Menteri Dalam Negeri, kerana menurutnya sumbangan politik tidak sepatutnya dibuat sebegitu.

Katanya, sepatutnya bayaran dibuat sekali sahaja, tetapi sebaliknya dibuat setiap bulan selama empat tahun yang dibayar kepada Ahmad Zahid, bukannya kepada Umno. – Malaysiapost

Komen