Hospital Papar buka semula perkhidmatan bedah

Hospital Papar buka semula perkhidmatan bedah

HOSPITAL Papar, Sabah telah membuka semula perkhidmatan pembedahan di hospital berkenaan selepas dinaik taraf dan dapat mematuhi piawaian yang ditetapkan bagi pengoperasian sepenuhnya. 

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pembukaan dewan bedah itu dilaksanakan di bawah program pembedahan global/ “Global Surgery” Initiative dan Program Kluster Hospital.

Menurutnya, sebagai fasa permulaan, prosedur Bilateral Tubal Ligation (BTL) telah berjaya dilaksanakan di berkenaan pada 20 September lalu.

“Kes ini telah dilaksanakan oleh Dr Naumi Laboh, Pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G) dari Jabatan O&G Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, yang merupakan anak jati Sabah bersama-sama dengan Dr Bryan Lee, Pegawai Perubatan dari Hospital Papar, Pegawai Perubatan Anestesiologi Dr Nur Atikah Munir  dan kakitangan-kakitangan Dewan Bedah Hospital Papar.

“Diharap pembukaan dewan bedah ini akan dapat meningkatkan kebolehcapaian perkhidmatan pembedahan kepada penduduk daerah Papar dan di sekitarnya, dan seterusnya menjadi pemangkin bagi Hospital Papar untuk memperluaskan lagi perkhidmatan pembedahan lain demi kebaikan dan manfaat masyarakat setempat,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada Hospital Papar dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah di atas usaha murni itu. 

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa komited untuk menambahbaik kualiti dan mutu perkhidmatan perawatan kepada pesakit di semua fasiliti kesihatan di seluruh negeri Sabah,” katanya. – Malaysiapost 

Komen