Kakitangan universiti ugut ‘rider Grab’ dikenakan tindakan displin 

Kakitangan universiti ugut ‘rider Grab’ dikenakan tindakan displin 

SEORANG kakitangan sebuah institut pengajian tinggi (IPT) dikenakan tindakan displin berikutan rakamannya mengeluarkan kata-kata kesat dan mengugut seorang penghantar makanan, tular di media sosial. 

Universiti Malaysia Sains dan Teknologi (MUST) dalam kenyataan menzahirkan rasa kecewa dan kesal terhadap insiden membabitkan pusat pengajian tersebut. 

“Kami percaya tidak seharusnya mana-mana pihak mengambil tindakan dalam mengugut atau mengeluarkan kata-kata kesat kepada sesiapa,” menurut kenyataan itu hari ini. 

Sementara itu, kenyataan itu turut menekankan pihak MUST tidak mempunyai sebarang perjanjian kerjasama bersama syarikat Grab seperti dinyatakan oleh individu tersebut di dalam video tular. 

Katanya, pihak pengurusan universiti yakin kenyataan individu tersebut adalah sepenuhnya tanggungjawabnya sendiri dan bukan daripada pihak universiti. 

“Pihak pengurusan universiti berdiri teguh mengutuk perbuatan individu tersebut dan kami telah mengambil tindakan disiplin yang sewajarnya terhadap beliau. 

“Pihak universiti ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang mengambil inisiatif dalam menghubungi kami bagi memaklumkan kejadian tersebut. 

“Kami sangat menghargai semua komen dan pendapat yang telah diberikan. Kami berjanji akan terus memberi pendidikan terbaik kepada semua anak didik kami dan seluruh institusi Malaysia University of Science and Technology,” katanya. 

Sebelum ini, tular rakaman pertengkaran dua individu antara penghantar makanan dan kakitangan sebuah IPT di aplikasi TikTok. 

Pertengkaran di antara mereka dipercayai tercetus disebabkan lelaki itu salah meletakkan pin lokasi membuatkan penghantar makanan perlu mencarinya selama satu jam. 

Dalam video itu, individu tersebut mengugut penghantar makanan bakal kehilangan kerja dan mendakwa majikannya iaitu MUST adalah rakan kongsi syarikat penghantaran makanan tersebut. – Malaysiapost

Komen