KWSP 2.0: Pemuda Umno jumpa Tengku Zafrul dalam masa terdekat

KWSP 2.0: Pemuda Umno jumpa Tengku Zafrul dalam masa terdekat

PEMUDA Umno akan membawa suara rakyat berhubung tuntutan pengeluaran khas daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam masa terdekat.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata beliau menerima memorandum daripada Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Selangor (PGIR) berkaitan tuntutan pengeluaran KWSP 2.0 secara bersasar terbabit.

“Sehingga 5 September 2022, PGIR mendapat petisyen daripada seramai 226,996 orang pencarum yang memerlukan pengeluaran KWSP secara bersasar untuk meneruskan kelangsungan hidup mereka.

“PGIR menerima ribuan aduan yang menyatakan ramai rakyat masih mengalami kesempitan hidup akibat pandemik, ‘underemployment’ pekerjaan tidak setara dengan kelayakan.

“(Selain) kos sara hidup dan bebanan hutang yang tinggi dan banyak lagi perkara yang mendesak mereka untuk pengeluaran KWSP secara bersasar,” katanya dalam hantaran Facebook.

Terdahulu, Asyraf menerima memorandum daripada PGIR yang diketuai Pengerusinya, Azmi Mohd Tahir berkaitan tuntutan berkenaan di pejabatnya, semalam.

“InsyaAllah, saya akan akan membawa suara ini kepada Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul untuk diperhalusi dalam masa terdekat,” katanya.

Sebelum ini, PGIR mencadangkan kerajaan membenarkan pengeluaran wang khas daripada KWSP mengikut kategori dan keperluan bagi mengurangkan beban kehidupan sekarang.

Azmi berkata, pengeluaran khas KWSP 2.0 ini amat diperlukan golongan B40, M40, mereka yang diberhentikan kerja dan ibu tunggal di seluruh negara.

“Pengeluaran ini mengikut keperluan bagi meneruskan kelangsungan hidup untuk mengatasi masalah ekonomi yang tidak menentu dan peningkatan harga barang berterusan memandangkan sehingga kini pihak kerajaan masih gagal menanganinya dengan baik,” katanya. – Malaysiapost

Komen