Mana solidariti untuk Najib pada Taklimat Khas Presiden Umno lalu, soal Zaid

Mana solidariti untuk Najib pada Taklimat Khas Presiden Umno lalu, soal Zaid

DATUK Zaid Ibrahim menegur sikap para pemimpin dan ahli Umno yang kini seolah-olah tiada semangat dalam bersolidariti dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menerusi video dimuat naik di Facebook miliknya, Zaid berkata semasa sesi taklimat khas Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur enam minggu lalu, semangat mereka berkobar-kobar.

Katanya, ketika itu mereka bercakap tentang kepincangan sistem keadilan dan penganiayaan terhadap Najib.

“Semangat berkobar-kobar macam nak pecah Dewan Merdeka, tetapi enam minggu kemudian, hari ini, lesu. Tidak ada apa-apa tindakan susulan diambil oleh Umno seolah-olah Umno was-was tentang solidariti.

“Seolah-olah Umno sendiri tidak yakin Najib dianiaya dan inilah punca kekalahan kita pada 2018. Kita tidak yakin tentang Najib tidak bersalah, dia ditipu oleh kumpulan-kumpulan tertentu,” katanya dalam rakaman itu.

Zaid turut mengingatkan bahawa naratif yang digunakan pihak lawan pada 2018 telah memberi kemenangan kepada Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad dan sekutu-sekutunya.

Ujar beliau, Barisan Nasional (BN) dan Umno akan tewas kembali sekiranya mereka tiada naratif yang boleh meyakinkan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Katanya, sehubungan itu beliau berharap agar kepimpinan Umno termasuk di peringkat bahagian meneliti kembali naratif semangat perpaduan dan kekuatan parti.

“Kalau kita tak ada semangat untuk memberangsangkan dan meyakinkan rakyat tentang kebenaran pihak kita, apa perlunya mereka pilih kita?

“Jadi dalam hal ini, fikirkan dalam masa terdekat apa tindakan yang kita perlu ambil sebagai satu kumpulan,” jelasnya.

Sementara itu, Zaid juga  menegur sikap kepimpinan elit Melayu dalam Umno yang dilihat selesa dengan kekayaan, jawatan dan pangkat yang mereka miliki.

Justeru itu, katanya. Ahli-ahli Umno perlu menghidupkan kembali semangat perjuangan yang tulen itu dan kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan parti tidak menang PRU15. – Malaysiapost

Komen