Manifesto PRU-15 PN tumpu pemulihan ekonomi negara – Tuan Ibrahim

Manifesto PRU-15 PN tumpu pemulihan ekonomi negara – Tuan Ibrahim

PERIKATAN Nasional (PN) sudah menubuhkan satu jawatankuasa bagi merangka asas dan adasar utama manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bagi gabungan itu, kata Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air, berkata fokus utama dalam manifesto PN bagi PRU-15 adalah pemulihan ekonomi negara.

“Manifesto bersama (PN) kita sudah cuba draf… ahli jawatankuasa manifesto bersama telah pun diwujudkan untuk merangka tentang asas dan dasar utama kita dalam manifesto.

“Tumpuan utama kita ialah pertama untuk pemulihan ekonomi negara dan kedua, kita akui bahawa isu perubahan iklim ada impak secara langsung kepada situasi negara. Jadi kita beri keutamaan soal kebajikan rakyat dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Ceramah 3 Menteri Besar Pas dan Pelancaran Jentera PRU-15 di Pra Himpunan Teguh Pertahan di Dataran Kompleks Sukan Negeri Terengganu, malam tadi.

Menurutnya, selain itu fokus manifesto PN yang menjadi keutamaan juga adalah dalam konteks sebuah negara berintegriti tinggi, bebas rasuah serta menjamin keadilan kepada semua rakyat di Malaysia.

“Manifesto bagi negeri (Pas) juga sama akan ikut di peringkat persekutuan. Ada sebahagian manifesto negeri akan tawarkan manifesto yang dirangka di peringkat negeri.

“Sebab Pas sebahagian daripada kerajaan sekarang…kita ada tawaran-tawaran yang akan dibuat dalam konteks negara juga,” katanya.

Sementara itu mengulas mengenai pembahagian kerusi dalam PN bagi menghadapi PRU-15, Tuan Ibrahim menjangkakan ia akan selesai dalam tempoh terdekat melalui beberapa sesi perbincangan.

“Saya difahamkan mesyuarat pertama sudah diadakan, mesyuarat kedua dan ketiga akan diadakan dalam tempoh terdekat.

“Saya rasa dalam PN ini kita mudah untuk selesai masalah kerusi, tiada masalah sangat…kita yakin dalam dua, tiga kali mesyuarat boleh selesaikan, Insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost

Komen