Masa untuk segerakan RUU dana politik – Shabery Cheek

Masa untuk segerakan RUU dana politik – Shabery Cheek

AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, menegaskan kini adalah masanya untuk menyegerakan Rang Undang-Undang (RUU) Pembiayaan Dana Politik.

Menurutnya, langkah itu bagi mengelakkan lebih banyak pendakwaan terpilih berlaku membabitkan individu yang dibenci dan sebaliknya ‘membersihkan’ mereka yang disukai pihak tertentu.

“Masa untuk segerakan undang-undang pendanaan politik.

“Semua parti politik termasuk pembangkang ada dana masing-masing dan ada penyumbang masing-masing. Ada yang jelas. Banyak yang ‘kelabu’.

“Kalau tidak, lebih banyak pendakwaan terpilih akan berlaku. Dakwa orang yang dibenci, bersihkan orang disukai,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Dalam hantaran itu, beliau turut berkongsi laporan berita mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini yang melepas dan membebaskan Presiden Umno daripada 40  tuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Terdahulu, Ahmad Zahid ketika bercakap kepada media selepas keputusan mahkamah itu, mendakwa beliau telah diaib dan ‘ditelanjangkan’ dengan tuduhan rasuah terlebih dulu meskipun dibebaskan hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Bagan Datuk yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, dia telah dimalukan dengan pertuduhan itu dan dihukum oleh ‘court of public opinion’.

Ahmad Zahid dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie di akhir pendakwaan.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, berkaitan kontrak syarikat terbabit sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan VLN. – Malaysiapost

Komen