Mat Kilau duduki carta ‘top 10’ hampir di 20 buah negara

Mat Kilau duduki carta ‘top 10’ hampir di 20 buah negara

FILEM Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang dikritik penonton tempatan selepas mula ditayangkan di platform penstriman Netflix sejak minggu lalu, menerima sambutan baik penonton di negara luar.

Mengikut senarai yang dikeluarkan oleh portal FlixPatrol, filem terlaris dalam sejarah industri perfileman Malaysia itu kini menduduki carta Top 10 di hampir 20 buah negara setakat semalam, antaranya Singapura, Korea Selatan, Sweden, Romania, Arab Saudi, Oman, Filipina, Finland dan Greece.

Lebih mengejutkan, ia menduduki tempat keempat di Israel.

Dalam carta global Top 10 filem bukan berbahasa Inggeris dari tempoh 12 hingga 18 September 2022 pula, Mat Kilau meraih tempat kelima dengan jumlah tontonan 3.97 juta per jam.

Dalam reaksinya, pengarah Mat Kilau, Syamsul Yusof, memberitahu pendekatan agama Islam yang ditonjolkan berjaya menarik perhatian penonton.

“Saya tak sangka filem ini berjaya sehingga ke tahap ini apabila sewaktu tayangan di Malaysia juga sudah tular, kemudian di platform Netflix juga menjadi bualan ramai. Bukan saja di Malaysia, malah di luar negara.

“Sehingga hari ini saya tidak henti dapat mesej peribadi di Instagram daripada penonton luar negara. Ada yang dari Australia, Jerman dan ramai lagi yang menghantar mesej tapi saya tidak sempat membalasnya,” katanya memetik Harian Metro.

Mat Kilau yang mengutip RM97 juta selepas ditayangkan di pawagam Jun lalu, menjadi filem dengan kutipan tertinggi di negara ini, mengatasi Avengers: End Game sebanyak RM87 juta.

Filem ini dibintangi barisan pelakon hebat antaranya Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Yayan Ruhian, Johan As’ari, Datuk Rahim Razali dan Datuk Jalaluddin Hassan. – Malaysiapost

Komen