MUIP peruntuk RM144,000 untuk 39 pelajar lanjut pengajian

MUIP peruntuk RM144,000 untuk 39 pelajar lanjut pengajian

Ben Ibrahim

MAJLIS Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memperuntukkan RM144,000 untuk pembiayaan tiket penerbangan dan wang saku kepada anak Pahang yang melanjutkan pengajian di Jordan dan Mesir.

Peruntukan itu adalah untuk 39 pelajar melalui skim bantuan dermasiswa diperkenalkan MUIP bagi membantu meringankan bebanan pelajar terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Hairi Hussain, berkata pembiayaan itu adalah meliputi tiket sehala bagi 39 pelajar dan wang tunai RM1,200.

“Selain sumbangan ini, MUIP juga akan menyemak semula kadar skim bantuan dermasiswa untuk pelajar di Mesir dan Jordan.

“Semakan ini mengambil kira keputusan peperiksaan pelajar berkenaan, maknanya semakin bagus keputusan, semakin tinggi kadar bantuan diberikan.

“Semua ini adalah untuk memberi motivasi kepada mereka bagi berusaha lebih tekun dalam setiap bidang pengajian masing-masing,” katanya kepada media di Kuantan, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Hairi menyampaikan sumbangan kepada 39 pelajar yang akan ke Jordan dan Mesir di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1.

Pelajar itu akan bertolak ke institusi pengajian tinggi mereka pada 25 dan 28 September ini.

Ahmad Hairi turut berharap semua pelajar berkenaan dapat menamatkan pengajian dengan cemerlang dan kembali menabur bakti di Pahang. – Malaysiapost

Komen