‘Musim banjir tidak sesuai adakan PRU15’ – Tun M

‘Musim banjir tidak sesuai adakan PRU15’ – Tun M

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta agar tarikh  untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dipilih pada waktu yang lebih tenang dan tiada ancaman bencana alam.

Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) itu berkata kerajaan perlu memikirkan tarikh sesuai supaya ia tidak bertembung dengan bencana banjir dan angin kencang.

 “Waktu banjir tidak baik untuk diadakan pilihan raya kerana nak bergerak pun susah dan mungkin ramai tidak boleh keluar buang undi.

“Bagaimanapun, jika tarikh PRU15 itu ditentukan pada musim banjir, kita tetap bersedia,” katanya memetik Utusan Malaysia.

Pada masa sama, katanya, kerajaan juga perlu mengambil kira kehendak dan keperluan serta persediaan parti lawan dalam menentukan tarikh PRU15.

Dr Mahathir berkata, kerajaan perlu bertolak ansur dan memberi masa kepada parti lawan untuk lebih bersedia.

“Janganlah buat sesuatu supaya parti lawan tidak dapat ambil bahagian dalam pilihan raya. Jangan pula daftar (GTA) kita pun dia (kerajaan) tarik…susahlah,” katanya.

Ditanya samada pendaftaran GTA sudah diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Dr Mahathir berkata, ia belum diluluskan dan RoS memberi tempoh sehingga pertengahan Oktober untuk memproses pendaftaran itu.

Selain itu, katanya, agihan kerusi bagi  calon GTA untuk PRU15 juga belum selesai dimuktamadkan.

Jelasnya lagi, GTA dijangka bakal menampilkan calon dalam kalangan pemimpin NGO dimana mereka bersetuju untuk bertanding atas tiket GTA bukannya NGO yang mereka wakili. – Malaysiapost

Komen