Najib sudah discaj dari Hospital Rehabilitasi Cheras – KJ 

Najib sudah discaj dari Hospital Rehabilitasi Cheras – KJ 

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah dibenarkan keluar daripada Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) pada petang ini selepas menerima rawatan di institusi itu sejak Isnin lalu. 

Perkara tersebut disahkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang memaklumkan Ahli Parlimen Pekan itu stabil dan akan dihantar semula ke Penjara Kajang. 

“Saya baru sahaja terima mesej daripada pengarah HRC (memaklumkan) Datuk Seri Najib telah pun keluar pada jam 3.20 petang tadi selepas pakar mengesahkan beliau sudah bersedia untuk didiscaj daripada hospital. 

“Dia dirujuk ke hospital sebab dia mengadu tahap kesihatan (tetapi) sudah dirawat dan sekarang pandangan pakar (mengatakan) beliau berada dalam keadaan stabil untuk didiscaj,” katanya memetik Astro Awani. 

Mengulas lanjut, Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) tidak campur tangan dan menyerahkan semua keputusan berhubung rawatan bekas perdana menteri itu kepada kumpulan pakar yang merawat. 

“Di pihak KKM kita dengar pandangan pakar dan saya tidak boleh campur tangan apa-apa yang mana jika pakar kata beliau (Najib) sudah bersedia untuk didiscaj, maka discaj lah. 

“Saya difahamkan sekarang ini beliau dalam perjalanan untuk balik ke Penjara Kajang semula,” ujarnya. 

Najib sebelum ini dirujuk ke HRC pada 19 September lalu bagi rawatan dan pemantauan lanjutan terhadap tahap kesihatannya. 

Jabatan Penjara Malaysia dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan, Najib akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman sebaik sahaja pihak pakar perubatan HRC atau Hospital Kuala Lumpur (HKL) memberikan pelepasan perubatan ke atas beliau. – Malaysiapost

Komen