‘Nicole’ menyebabkan pendakwaan ke atas Zahid tidak lengkap

‘Nicole’ menyebabkan pendakwaan ke atas Zahid tidak lengkap

Nahar Tajri

HAKIM Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Yazid Mustafa berkata wujud satu watak yang dinamakan sebagai “Nicole” tidak dipanggil untuk menjadi saksi bagi melengkapkan kes pendakwaan terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. 

Menurut Mohd Yazid, ketiadaan Nicole sebagai saksi menyebabkan aliran wang tidak dapat disahkan. 

Katanya, Nicole menjadi watak penting kerana hanya individu ini saja yang dapat mengesahkan pembayaran dan tujuan pembayaran dibuat.

Sebelum ini, saksi ke-18 pendakwaan, David Tan ketika memberi keterangan di mahkamah mengakui Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) tidak mempunyai dana yang cukup untuk membayar rasuah terhadap tertuduh. 

David memberitahu mahkamah bahawa sumber kewangan daripada Hong Kong telah digunakan untuk membolehkan dana yang mencukupi diperoleh untuk membuat bayaran yang dijanjikan. 

David memberi tahu mahkamah bahawa individu yang menguruskan kemasukan dana melalui “money Changer” itu dikenali sebagai Nicole.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, atas 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Hakim membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie bagi kesemua tuduhan terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu di akhir pendakwaan.

Mohd Yazid memerintahkan Ahmad Zahid dibebaskan daripada semua tuduhan utama dan tuduhan pilihan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009/ Seksyen 165 Kanun Keseksaan.- Malaysiapost

Komen