Pembebasan Zahid bukti ‘pendakwaan terpilih’ era kerajaan PH

Pembebasan Zahid bukti ‘pendakwaan terpilih’ era kerajaan PH

Najamuddin Mohd Nor

PEMBEBASAN Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada pendakwaan rasuah berhubung projek Visa Luar Negara (VLN) membuktikan pendakwaan terpilih akibat “dendam politik” gagal “membunuh” imej Umno.

Nasib Umno terus dirundung malang apabila satu persatu pemimpinnya didakwa di mahkamah atas pelbagai pertuduhan selepas tumbang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Ahmad Zahid menggalas tugas sebagai Presiden Umno selepas peletakkan jawatan Datuk Seri Najib Razak, berdepan 87 kes pendakwaan ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pimpinan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas

Ketua Umno Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, kebenaran akhirnya muncul jua kepada pihak yang teguh mempertahankan kebenaran.

“Jadi, ini dapat membuktikan apa tohmahan dan tuduhan yang telah dilemparkan tidak berasas, jadi saya harapkan ini menjadi titik mula kebangkitan yang telah muncul.

“Apa pun sebagai ahli Umno kita mengharapkan presiden terus tabah dan terus menerajui kepimpinan Umno yang mana apa pun senario pilihan raya dah hampir tiba ini membuktikan kepada rakyat bahawa pertuduhan-pertuduhan yang dirancang oleh pihak tertentu, kebatilan itu wujud pada hari ini.

“Syukur alhamdulillah, kita doakan semoga semua yang teraniaya dibebaskan. Sabar itu indah,” katanya kepada Malaysiapost, hari ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Razlan Rafii berkata, keputusan mahkamah hari ini menunjukkan dendam kesumat kerajaan PH yang sememangnya sengaja untuk membunuh watak Umno dalam arus politik negara

“Ini menunjukkan apa yang dilakukan oleh Tommy Thomas dan mahkamah semasa PH memerintah ianya adalah semuanya pendakwaan terpilih.

“Kita akan pastikan semua kes yang sedang berlangsung yang diarah untuk membunuh karekter orang Umno, kita akan pastikan ianya dapat pembelaan yang saksama, dan akan dilepaskan, dibebaskan seperti mana yang presiden hadap pada hari ini.

“Jadi, saya percaya bahawasanya apa sahaja yang telah dicuba semasa Thomas menjadi Peguam Negara, Mahathir menjadi Perdana Menteri perkara ini semua adalah politik dendam, pendakwaan terpilih.

“Saya percaya keadilan akan berpihak kepada orang yang dizalimi. Hari ini ramai pemimpin Umno dizalimi. Jadi kita harap ianya dapat dibersihkan

“Sama kita melihat, ada perkara-perkara yang memang sudah pastinya memang untuk membunuh karekter orang-orang Umno, bunuh parti Umno,” katanya kepada Malaysiapost ketika ditemui di Mahkamah Tinggi, Shah Alam, hari ini.

Bagaimanapun Razlan menegaskan, Umno akan terus berjuang untuk membersihkan namanya di mata rakyat.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, tiga watak penting menjadi dalang untuk membunuh Umno dan para pemimpinnya sejak 2018.

Selain Mahathir dan Thomas, Jamal mendakwa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diketuai pemimpin PKR ketika itu, Latheefa Koya telah merancang pendakwaan terpilih kepada pemimpin-pemimpin Umno.

“Pembebasan Zahid membuktikan bahawa yang dituduh itu adalah fitnah semata-mata dan keputusan hari ini membersihkan nama Zahid, bermotif politik semata-mata.

“Zahid sebelum ini diugut Mahathir l perlu masuk parti Bersatu, tetapi beliau tolak syor menyertai Bersatu, kerana penolakan itu beliau dituduh lebih 80 pertuduhan.

“Ini menjelaskan kepada rakyat pertuduhan politik semata-mata, kepentingan parti pemerintah zaman PH.

“Saya berharap menjelang PRU15 akan datang, rakyat nilailah pemimpin-pemimpin UMNO bukanlah pemimpin yang digambarkan,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini yang membebaskan dan melepaskan Ahmad Zahid daripada 40 tuduhan menerima suapan dari syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem VLN.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa memerintahkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dibebaskan daripada semua tuduhan utama dan tuduhan pilihan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009/ Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mohd Yazid dilaporkan berkata, selepas menimbangkan semua bukti dan keterangan secara keseluruhan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid. -Malaysiapost

Komen