PM selamat tiba di New York untuk hadiri UNGA77

PM selamat tiba di New York untuk hadiri UNGA77

DELEGASI Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-77 (UNGA77) yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selamat tiba di New York, Amerika Syarikat (AS).

Ketibaan delegasi negara di Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy, New York, AS pada jam 4:10 pagi waktu tempatan, disambut Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Ismail Sabri berkata, selain menghadiri UNGA77 lawatan kerjanya juga bertujuan mengadakan beberapa mesyuarat dua hala dengan beberapa pemimpin dunia yang lain.

“Semoga lawatan kerja ini membuahkan hasil yang memanfaatkan negara dan Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Menurutnya, dalam kenyataan pada perhimpunan itu nanti, beliau akan menyuarakan pendirian Malaysia berhubung isu sejagat yang memberi kesan kepada kehidupan keluarga dunia.

Ismail Sabri dijadual menyampaikan kenyataan Malaysia buat julung kalinya dalam Bahasa Melayu di pentas PBB hari ini selain mengadakan mesyuarat dua hala dengan pemimpin-pemimpin negara lain.

Perdana Menteri dijangka akan mengetengahkan isu-isu berkaitan cabaran global seperti Covid-19, ekonomi, Palestin, konflik di Ukraine dan Myanmar, serta tindakan perubahan iklim dan pembangunan mampan.

Beliau juga dijangka akan menggariskan kepentingan konsep hidup bersama dalam budaya damai terutamanya bagi menyelesaikan pertikaian secara aman demi mewujudkan sebuah keluarga dunia yang harmoni. – Malaysiapost

Komen