PRU15: Adakah Umno sanggup redah banjir untuk pertahan rasuah?, tanya Kit Siang

PRU15: Adakah Umno sanggup redah banjir untuk pertahan rasuah?, tanya Kit Siang

VETERAN DAP, Lim Kit Siang menegaskan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan dana RM50 billion adalah penentu sama ada sesebuah parti politik itu menyokong atau menentang rasuah.

Malah, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, peringatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah terhadap kegiatan rasuah di negara ini menunjukkan jenayah itu telah menjadi masalah besar di Malaysia.

“Presiden Umno, (Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid Hamidi, telah menyindir bekas Perdana Menteri, (Tan Sri) Muhyiddin Yassin, dan juga bekas Peguam Negara, Tommy Thomas, namun dia sendiri gagal mengecam skandal 1MDB yang melibatkan RM50 billion. Mengapakah jadi begini?

“Presiden Umno (Ahmad Zahid) telah mengatakan yang Umno bersedia untuk ‘meredah air banjir’ dalam Pilihan Raya Umum Ke-15.

“Namun mengapakah dia (Ahmad Zahid) gagal untuk mengecam skandal 1MDB? Adakah Umno akan ‘meredah air banjir’ untuk mempertahankan rasuah?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kit Siang menegaskan, tidak ada keperluan untuk bertanya kepada Menteri dan pemimpin MCA dan MIC kerana mereka juga gagal untuk mengutuk skandal 1MDB dalam dekad yang lepas.

Katanya, keadaan itu berlaku kerana perkara sebegitu sememangnya menjadi ciri kedua-dua parti berkenaan.

Semalam, Sultan Nazrin bertitah amalan rasuah di negara ini disifatkan berada pada skala yang membahayakan, berdasarkan teguran laporan Ketua Audit Negara (KAN) secara berulang kali dan pelbagai penemuan dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Baginda bertitah, atas dasar itu, semua pihak tidak boleh memandang ringan, bersifat leka, memilih melakukan penafian dan memikirkan segala justifikasi bagi menidakkan kewujudan rasuah di hadapan mata.

Titah baginda, semua pihak wajib bersifat berani mengakui, berhubung realiti sedang berlakunya amalan rasuah pada skala yang membahayakan, berdasarkan teguran dan penemuan berkenaan. – Malaysiapost

Komen