SAR 2 mangsa tertimbus runtuhan batu ditamatkan

SAR 2 mangsa tertimbus runtuhan batu ditamatkan

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) dua mangsa yang dilaporkan hilang akibat kejadian tanah runtuh di Kuari Danshak, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, Ipoh sejak 8 Mac lalu ditamatkan pada jam 6 petang semalam.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, berkata operasi itu ditamatkan susulan rangka jengkaut yang dipercayai dikendalikan oleh mangsa kedua berjaya dikeluarkan dari timbunan batu di tempat kejadian kira-kira jam 5.20 petang.

Menurutnya, jengkaut itu berjaya dikeluarkan dari timbunan batu oleh pasukan SAR yang diketuai Ketua Polis Daerah Ipoh dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak.

“Disamping itu, pencarian pasukan SAR di sekitar lokasi rangka jengkaut turut berjaya menemui cebisan pakaian dan tulang manusia dipercayai milik mangsa kedua yang dilaporkan hilang semasa kejadian itu.

“Cebisan pakaian dan tulang manusia yang ditemui berkenaan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk tujuan bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identiti mangsa,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, dengan penemuan kedua-dua jentera, cebisan pakaian dan tulang manusia dipercayai milik kedua-dua orang mangsa yang dilaporkan hilang semasa kejadian tanah runtuh berkenaan, maka operasi SAR di tempat kejadian ditamatkan.

“Polis Perak merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang turut serta membantu dalam menjayakan operasi SAR ini khususnya JBPM Perak Perak, JMG Perak, pasukan SMART, Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Jabatan Kerja Raya Negeri Perak, Universiti Teknologi Petronas dan pengusaha kuari,” katanya.

Dalam kejadian 9.15 pagi 8 Mac lalu, dua mangsa, Itam Lasoh, 43 dan Kheow Loo Siew Soon, 49, dilapor tertimbus dalam insiden runtuhan batu kuari di Keramat Pulai, di Simpang Pulai, Ipoh. – Malaysiapost

Komen