SF: Wanita warga asing berusia 42 dan 50 tahun pada kira-kira jam 11.30 pagi semalam selepas polis menerima laporan dibuat bapa mangsa.

SF: Wanita warga asing berusia 42 dan 50 tahun pada kira-kira jam 11.30 pagi semalam selepas polis menerima laporan dibuat bapa mangsa.

Cubaan culik kanak-kanak di Genting Highlands, 2 wanita warga asing ditahan

DUA wanita warga asing yang dipercayai cuba menculik seorang kanak-kanak di Genting Highlands seperti video yang tular di media sosial baru-baru ini, kini ditahan susulan bapa mangsa membuat laporan polis sehari selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata terdahulu pihaknya menjalankan siasatan berkaitan kes berkenaan yang tular melalui video berdurasi seminit 20 saat melalui aplikasi TikTok dan dimuat naik di laman Facebook pada Isnin lalu.

Menurutnya, susulan itu satu laporan polis telah dibuat oleh bapa mangsa yang merupakan warga tempatan berusia 33 tahun jam 1.20 tengah hari, Selasa lalu.

“Polis telah merakam percakapan pengadu dan kesemua saksi.

“Bertindak di atas siasatan yang telah dijalankan, pihak polis telah menahan dua wanita warganegara asing masing-masing berusia 42 dan 50 tahun pada kira-kira jam 11.30 pagi semalam,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 363/511 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan culik yang sekiranya didapati bersalah boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda.

“Kertas siasatan kes berkenaan akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Orang ramai khususnya ibu bapa atau penjaga diingatkan sentiasa berhati-hati dan peka terhadap aspek keselamatan anak atau kanak-kanak di bawah jagaan masing-masing terutamanya di tempat yang sesak bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Zaiham dalam kenyataan Selasa lalu, berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan dan mengesan pemilik akaun TikTok ‘@Alfitry_Azmi52’ bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung video tular berkenaan kejadian seorang kanak-kanak hampir diculik di Genting Highlands.

Menurutnya kejadian itu tular menerusi sebuah video berdurasi satu minit 20 saat yang dimuatnaik di Facebook ‘Daily Traffic Report’ yang mengatakan seorang kanak-kanak hampir menjadi mangsa culik oleh wanita warga asing di kawasan terbabit. – Malaysiapost

Komen