Zahid: ‘Saya diaib, dimalukan dan ditelanjangkan’

Zahid: ‘Saya diaib, dimalukan dan ditelanjangkan’

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa beliau telah diaib dan “ditelanjangkan” dengan tuduhan rasuah terlebih dulu meskipun dibebaskan mahkamah hari ini.

Bercakap kepada media selepas keputusan mahkamah, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata dia telah dimalukan dengan pertuduhan itu.

“Saya telah diaibkan, dimalukan, malah ditelanjangkan dengan pelbagai anggapan.

“Saya telah dihukum terlebih dahulu oleh ‘court of public opinion’. 

“Tapi Jumaat ini kebenaran perundangan ditegakkan,” katanya pada sidang media di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, atas 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie bagi kesemua tuduhan terhadap di akhir pendakwaan.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, berkaitan kontrak syarikat terbabit sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN).- Malaysiapost

Komen