Zul Ariffin bakal berhijrah ke Makkah, mulakan perniagaan

Zul Ariffin bakal berhijrah ke Makkah, mulakan perniagaan

TIADA angin tiada ribut, pelakon Zul Ariffin mendedahkan dia bakal berhijrah dan menetap di Makkah hujung tahun ini bagi memulakan perniagaan di sana.

Pemilik nama sebenarnya Zulkifli Ariffin, 36, memaklumkan perniagaan tersebut sudah lama dirancang dan sekarang adalah masa terbaik untuk dirinya meneruskan impiannya itu.

Jelasnya lagi, dia kini sedang dalam proses berpindah serta memaklumkan akan terus menetap di Makkah bagi urusan perniagaan berkenaan.

“Saya akan ke sana bermula Januari untuk urusan perniagaan. Memang menetap di sana, tapi pastinya akan akan sering kembali ke Malaysia.

“Sebenarnya sudah lama rancang perniagaan ini dan akhirnya ia terjadi. Justeru, ia memerlukan saya untuk tinggal di sana. Bukan hanya di Makkah, saya juga akan travel ke banyak negara selepas ini,” katanya seperti dilaporkan mStar.

Namun, Zul memberi jaminan tidak akan memperlahankan kerjaya seninya walaupun aktif meneroka bidang baharu di negara orang.

Mengakui teruja untuk menjalani satu fasa baharu dalam kerjaya, Zul berkata dia sudah bersedia dengan segala cabaran sebagai seorang anak seni bergelar ahli perniagaan.

“Saya kenalah imbangkan antara kerja di sana dan kerjaya seni di Malaysia. Saya tidak akan perlahankan kerjaya sebagai pelakon.

“Malah sudah ada banyak perancangan yang telah dibuat bersama pihak pengurusan.

“Sekarang ini industri seni semakin rancak selepas tempoh pandemik. Sambutan terhadap filem di pawagam, juga semakin bertambah baik. Rugilah kalau saya perlahan kerjaya seni,” katanya.

Jelasnya lagi, dia amat teruja walaupun mengetahui keadaan itu akan memenatkan.

“Bagi saya ia adalah sesuatu yang bagus kerana masih lagi produktif walaupun penat,” katanya. – Malaysiapost

Komen