Amaran angin kencang, laut bergelora di perairan Malaysia bermula Isnin

Amaran angin kencang, laut bergelora di perairan Malaysia bermula Isnin

JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama, yang dijangka melanda perairan negara, khususnya Sarawak Utara, Sabah Barat dan Labuan termasuk Sabah Timur.

Cuaca buruk itu turut dijangka melanda kawasan perairan Selatan Condore; Selatan Reef North; Utara Reef South; Labuan dan Sulu.

MetMalaysia menerusi hantaran di Facebook memaklumkan angin kencang barat daya berkelajuan 40 hingga 50 kilometer/sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka di kawasan perairan berkenaan dalam tempoh bermula 26 September hingga 30 September ini.

“Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut,” katanya.

Selain itu, untuk perkapalan, MetMalaysia memaklumkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori kedua di kawasan perairan Utara Condore; Utara Reef North, Layang-layang dan Palawan.

“Angin kencang barat daya berkelajuan 50 hingga 60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter dijangka di kawasan terbabit bermula Isnin sehingga Jumaat depan.

“Justeru, keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri,” katanya. – Malaysiapost

Komen