Bayi baru lahir ditinggalkan atas jalan

Bayi baru lahir ditinggalkan atas jalan

SEORANG bayi perempuan yang baru lahir dan masih bertali pusat ditemui ditinggalkan di atas jalan raya di Jalan Kampung Korikot, Tambunan, Keningau Sabah hari ini.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan bayi itu pada jam 2.38 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati bayi perempuan itu dijumpai orang awam ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.

“Bayi itu ditemukan cukup sifat di atas jalan raya dalam keadaan dibalut dengan kain putih bercorak bunga.

“Orang awam yang terkejut dan terus mengangkat bayi itu masuk ke dalam kereta,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Menurut Nor Rafidah, bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Tambunan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Bayi itu dalam keadaan stabil dan masih mendapatkan rawatan di Hospital Tambunan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta untuk menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd Damsa Dahlan di talian 0164486747. – Malaysiapost

Komen