Berbahasa Melayu, ucapan PM curi perhatian dunia

Berbahasa Melayu, ucapan PM curi perhatian dunia

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melakar sejarah negara kerana menjadi pemimpin pertama negara berucap dalam Bahasa Melayu dalam Perhimpunan Agung Petubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), di New York, Amerika Syarikat.

Tampil segak berbusana baju Melayu lengkap berwarna hitam, Perdana Menteri tidak canggung berucap dalam Bahasa Melayu yang menyentuh pelbagai isu termasuk isu global, peperangan Ukraine-Russia.

Perdana Menteri berkata, Malaysia mengulangi ketegasan agar semua negara, terutamanya kuasa-kuasa besar, supaya mengelak daripada mewujudkan blok pengasingan, yang hanya akan mendorong dunia ke kancah perang dingin.

Katanya, dunia perlu menyedari keamanan hanya boleh dicapai melalui dialog dan rundingan.

“Harga yang perlu dibayar untuk sesebuah peperangan adalah tinggi nilainya. Ini dibuktikan dengan situasi yang dialami oleh Ukraine. Kesannya bukan sahaja dideritai oleh rakyat dan negara itu, malah turut dirasai dunia.

“Konflik ini telah mengancam keamanan, keselamatan global, ekonomi dan menggugat sekuriti makanan.

“Malaysia mengalu-alukan perwujudan koridor laluan laut yang membolehkan penghantaran bijirin dari Ukraine. Ini merupakan satu langkah positif dalam menangani masalah sekuriti makanan,” katanya.

Ismail Sabri juga menyentuh perubahan iklim dunia yang menjadi masalah sejagat ketika ini.

“Perubahan iklim merupakan masalah sejagat yang melibatkan kita semua. Pada tahun lepas sahaja, Malaysia telah dilanda banjir paling serius dalam sejarah, yang mengakibatkan kerugian dianggarkan mencecah USD1.4 bilion (RM6.1 bilion).

“Ramai terkorban dan hampir 100,000 lagi terpaksa dipindahkan ke pusat penempatan sementara. Situasi ini bukan sahaja berlaku di Malaysia malah di beberapa negara lain. Jelas sekali, langkah-langkah mitigasi dan adaptasi perlu diteruskan.

“Hakikatnya, negara maju memikul tanggungjawab untuk meningkatkan bantuan kepada negara membangun, dengan memenuhi komitmen menyediakan peruntukan USD100 bilion setahun tanpa syarat.

“Ini dapat merealisasikan tindakan terhadap perubahan iklim yang sepatutnya dilaksanakan sejak tahun 2020,” katanya. – Malaysiapost

Komen