Dakwaan ‘lari’ ke Parlimen Ampang, Anwar takut pengundi Melayu

Dakwaan ‘lari’ ke Parlimen Ampang, Anwar takut pengundi Melayu

DATUK Seri Anwar Ibrahim didakwa akan bertanding di kerusi Parlimen Ampang kerana takut menghadapi pengundi Melayu di Port Dickson pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

EXCO Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Mohd Rashid Hasnon, berkata pengundi Melayu sudah dapat menilai kegagalan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) memimpin negara selama 22 bulan sebelum ini.

Ahli Parlimen Batu Pahat itu berkata, PH juga menyedari hanya pengundi Cina yang akan mengundi gabungan itu pada PRU nanti.

“Berita diterima bahawa Anwar kini mensasarkan kerusi Parlimen Ampang bagi PRU15. Diketahui Anwar akan ‘lari’ dari kerusi Port Dickson.

“Ampang adalah kerusi campur yang mempunyai peratus pengundi Melayu hanya 51 peratus manakala pengundi Cina 32 peratus. Ini memang kerusi pilihan bagi pemimpin PH yang langsung tidak yakin dapat sokongan pengundi Melayu.

“Ini berpunca daripada kegagalan kerajaan PH semasa 22 bulan berkuasa walaupun berjanji bermacam-macam semasa kempen PRU14,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Rashid, selain janji kosong PH, kerakusan Anwar dan penyokongnya merampas jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad telah melumpuhkan kerajaan sehingga ke tahap tenat.

“Nampaknya Anwar Ibrahim, calon PM PH sendiri juga takut menghadapi pengundi Melayu. Mengapa Anwar tidak memilih untuk bertanding di kawasan ‘Malay heartland’?

“Apakah Anwar tahu PH telah hilang besar sokongan masyarakat Melayu. Beliau gemar berceramah mengenai nasib petani, nelayan dan peniaga kecil.

“Tetapi takut pula mencuba nasibnya sendiri untuk berhadapan pengundi-pengundi dari kalangan petani, nelayan dan peniaga kecil di kawasan Melayu tegar. Apakah ini keberanian pemimpin Melayu ulung PH?,” katanya.

Pada 12 September lalu, media melaporkan PKR akan berhabis-habisan berjuang untuk menawan kembali kerusi Parlimen yang hilang selepas wakil rakyatnya keluar parti.

Anwar berkata, kerusi itu milik parti kerana mereka diberikan mandat oleh rakyat.

Katanya, parti itu akan menawan kembali kerusi Parlimen Gombak dan Ampang pada PRU15. – Malaysiapost

Komen