Malaysia mahu kuasa veto PBB dihapuskan

Malaysia mahu kuasa veto PBB dihapuskan

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, menyatakan pendirian Malaysia meminta kuasa veto Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dihapuskan selaras dengan prinsip satu negara satu undi.

Beliau yang berucap dalam bahasa Melayu pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-77, meletakkan harapan pada masyarakat antarabangsa supaya mengambil iktibar daripada cabaran-cabaran yang bersaling kait, terutamanya pandemik Covid-19.

“Dalam dunia yang saling terkait, dasar dan keputusan sesetengah negara mampu memberi kesan kepada negara lain.

“Misalnya, dalam mendepani cengkaman inflasi yang melanda dunia, dasar monetari dan penetapan kadar faedah oleh sesebuah negara turut memberi impak kepada negara-negara lain,” katanya.

Perdana Menteri berkata, sebagai organisasi yang membawa semangat dan lambang demokrasi kepada dunia, PBB perlu kembali kepada landasan penubuhannya.

Katanya, konflik dan krisis yang berlaku di dunia seperti di Ukraine, Palestin dan Myanmar, tidak dapat diselesaikan kerana kepincangan sistem tadbir urus global dan PBB.

Menurut beliau, masalah yang paling besar di PBB adalah Majlis Keselamatan, yang menyaksikan kuasa veto sering kali disalahgunakan untuk memihak kepada kuasa dunia yang memilikinya.

“Ia tidak demokratik dan melanggar prinsip asas demokrasi. Ini menyebabkan konflik yang berlaku tidak dapat diselesaikan oleh mana-mana wakil tetap Majlis tersebut,” katanya.

Ismail Sabri berkata, konflik akan hanya mengakibatkan kesan negatif kepada seluruh dunia dan memberi contoh pelbagai masalah yang wujud sekarang, antaranya kekurangan zat dan sumber makanan.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata semua negara perlu memberi penekanan kepada isu sekuriti makanan bagi menjamin sumber makanan yang mencukupi untuk semua.

Beliau berkata tema sesi kali ini iaitu ‘Suatu Detik Perubahan: Penyelesaian Transformatif kepada Cabaran Bersaling Kait’ amat bersesuaian dengan situasi yang sedang dilalui dunia.

“Keamanan dan kestabilan adalah penting dalam mengharungi setiap cabaran besar masa kini, baik krisis perubahan iklim, kemiskinan global mahupun kesan pandemik berterusan.

“Sehebat manapun perancangan kita, ia tidak akan bertahan daripada kemusnahan dan pembaziran yang disusuli dengan peperangan moden. Inilah kebenaran yang tidak seharusnya kita lupa,” katanya.

Dalam ucapan selama 20 minit itu, Perdana Menteri berkata apabila komitmen yang tinggi serta ikrar untuk bekerjasama disuarakan pada Perhimpunan Agung lepas, ia memberikan harapan kepada dunia.

“Banyak kenyataan telah dikeluarkan, yang memberi harapan termasuk kepada saya bahawa semangat sebuah Keluarga Dunia berupaya mengetepikan perbezaan yang wujud dalam kalangan kita,” katanya.

Malah, Perdana Menteri berkata, Malaysia tidak bersetuju dengan tindakan pengasingan sesebuah negara daripada pertubuhan-pertubuhan antarabangsa kerana ia bertentangan dengan prinsip multilateralisme dan menghalang dialog yang tidak membantu orang awam. – Malaysiapost

Komen