Mansuh UPSR, PT3, hala tuju pendidikan KPM kabur

Mansuh UPSR, PT3, hala tuju pendidikan KPM kabur

HALA TUJU pendidikan di Malaysia masih lagi kabur susulan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) oleh Kementerian Pendidikan (KPM).

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Hatapan (JKPPH) dalam kenyataan, berkata antara isu utama yang mengakar dalam pendidikan adalah pemansuhan UPSR dan PT3 yang beralih kepada Pentaskiran Berasaskan Bilik Darjah (PBD).

“JKPPH telah mendengar dan meneliti ucapan Menteri Kanan Pendidikan di dalam acara Wadah Asprirasi Menteri Kanan Pendidikan pada 23 September 2022.

“Sambil menekuni dua usaha iaitu menambah pengambilan guru dengan skala besar dan mempermudahkan urusan pertukaran guru dalam sistem sedia ada dilihat sebagai pencapaian membanggakan yang telah dilakukan oleh Menteri Kanan Pendidikan dan pasukannya, JKPPH beranggapan ada banyak masalah utama yang berlaku dalam sistem pendidikan gagal diselesaikan oleh Menteri Kanan Pendidikan.

“Ternyata sehingga hari ini arah tuju yang ditetapkan oleh KPM masih kabur dan merencatkan proses pendidikan di sekolah. Malah melemahkan motivasi murid,” menurut kenyataan itu.

Justeru, JKPPH menegaskan, pelbagai isu yang masih membebankan para guru perlu ditangani dengan segera.

“Selain itu, guru-guru yang terus dibebani tugas bukan mengajar yang semakin bertambah masih belum diatasi oleh pihak KPM sedangkan isu ini sering dibangkitkan oleh guru-guru.

“Isu ini wajar diselesaikan segera oleh guru-guru memandangkan tekanan yang dihadapi oleh guru-guru boleh melemahkan prestasi guru ketika mengajar,” katanya.

Sehubungan itu, JKPPH menyifatkan Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Md Jidin gagal menyelesaikan kepincangan besar yang berlaku dalam pendidikan sedangkan hampir kesemua masalah yang dibangkitkan oleh JKPPH sedang diselesaikan oleh Menteri dan Timbalan Menteri Pendidikan ketika itu pada tahun 2018 sehingga 2020.

“Akhirnya, menjadi agenda utama JKPPH bahawa semua murid layak dan harus mendapat pendidikan yang sewajarnya, namun KPM masih berdiam diri dan tiada sebarang perancangan besar untuk mengatasi keciciran murid dalam pendidikan,” katanya.

April lalu, kerajaan memutuskan UPSR dimansuhkan sepenuhnya mulai tahun ini, manakala PT3 pula diumum mansuh pada Jun lalu. – Malaysiapost

Komen