Muhyiddin ulangi pendirian BN musuh utama PN, tolak ketetapan PAS

Muhyiddin ulangi pendirian BN musuh utama PN, tolak ketetapan PAS

TAN Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi menegaskan musuh utama Perikatan Nasional (PN) ialah Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kenyataan Pengerusi PN itu jelas bercanggah dengan kenyataan PAS yang sebelum ini mengingatkan Bersatu bahawa musuh utama mereka ialah Pakatan Harapan (PH), bukannya BN.

“Ini adalah Perikatan Nasional, sudah ada kesepakatan, antara perkara-perkara yang disepakati saya nak sebut sini bahawa musuh utama kita tidak lain tidak bukan ialah Barisan Nasional,” katanya.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata demikian ketika berucap dalam satu majlis sambutan ulang tahun parti itu yang disiarkan menerusi Facebooknya, hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan tidak bersetuju dengan sebarang ketetapan atau pendirian PN yang menggambarkan BN sebagai musuh dalam PRU15 nanti.

Takiyuddin berkata, parti itu sebaliknya tetap menegaskan bahawa musuh sebenar penyatuan ummah adalah PH dan sekutu-sekutunya termasuk khemah besar.

Menurutnya, PAS optimis hanya dengan perpaduan dan kerjasama politik antara parti-parti utama Melayu Islam sahaja akan dapat mengelakkan pertandingan lebih daripada dua penjuru dalam PRU15.

“Ini bukan sahaja dapat menjamin terbentuknya pemerintahan yang adil dan saksama kepada semua rakyat merentasi kaum, agama, bangsa dan budaya tetapi juga mengelakkan berulangnya sejarah hitam yang berlaku semasa PRU14,” katanya. – Malaysiapost

Komen