PN tuntut penjelasan Hadi, dakwaan jumpa Zahid hidupkan MN

PN tuntut penjelasan Hadi, dakwaan jumpa Zahid hidupkan MN

PERSEFAHAMAN antara Bersatu dan PAS berhubung pendirian kedua-dua parti itu dalam isu kerjasama dengan Umno untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), dilaporkan semakin rumit.

Ia susulan dakwaan bahawa Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk ‘menghidupkan’ semula Muafakat Nasional (MN).

Sehubungan itu, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pihaknya akan mendapatkan penjelasan Abdul Hadi mengenai perkara itu, Isnin ini.

Beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, pihaknya juga ingin mengetahui kedudukan sebenar berhubung dakwaan tersebut.

“Saya ada membaca berita (laporan akhbar mengenai dakwaan Abdul Hadi bertemu Ahmad Zahid) dan saya juga berminat untuk mengetahui perkara yang sebenarnya.

“Jadi, saya akan dapatkan pengesahan Abdul Hadi dalam pertemuan yang telah ditetapkan Isnin atau Selasa ini,” katanya.

Beliau berkata demikia ketika sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun keenam Bersatu, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan Abdul Hadi dan Ahmad Zahid mengadakan pertemuan untuk menghidupkan semula MN bagi mengelakkan pertembungan dua parti itu pada PRU15.

Laporan itu turut menyebut pertemuan tersebut berlangsung Selasa lalu dan keputusan perbincangan itu bakal dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 30 September ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, selain mendapatkan penjelasan PAS, pertemuan itu juga akan turut membincangkan beberapa perkara penting lain sebagai persediaan menghadapi PRU15. – Malaysiapost

Komen