PRU15: KJ akui bimbang belum ada lagi kawasan untuk bertanding

PRU15: KJ akui bimbang belum ada lagi kawasan untuk bertanding

AHLI Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengakui risau memikirkan kelangsungan kerjaya politiknya kerana belum mempunyai kawasan untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menteri Kesihatan itu, berkata kebimbangannya berhubung perkara itu melangkaui kerisauan Kabinet sama ada mengadakan PRU15 pada tahun ini atau sebaliknya.

“‘Concern’ (kebimbangan) saya sekarang ini adalah tiada lagi kawasan untuk bertanding (pada PRU-15),” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Perubatan Dermatologi dan Estetik Asia (ADAMS), hari ini.

Beliau turut mengulas beberapa kebimbangan yang dikatakan dibangkitkan Kabinet pada mesyuaratnya Rabu lalu sebelum bersetuju mengadakan PRU15 pada tahun ini.

Antara kebimbangan berkenaan adalah musim banjir, selain mempertimbang keputusan enam negeri yang tidak setuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika Parlimen dibubarkan dalam tempoh terdekat.

Sebelum ini, Khairy mengesahkan tidak akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen disandangnya selepas beliau diarah mengosongkan kerusi itu oleh Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu bertanding di Rembau.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden Umno dan Pengarah Pilihan Raya BN kemudian mengesahkan beliau akan bertanding kerusi Parlimen pada PRU15, namun tidak menyatakan sama ada di Rembau atau lokasi lain.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan merangkap Ketua Umno Bahagian Rembau itu berkata, kedudukan calon dan kerusi bagi BN mahupun Umno belum dimuktamadkan dan kenyataannya berkaitan Rembau sebelum ini hanya mengenai soal kesiapsiagaan jentera parti.

Dalam reaksi balasnya, Khairy mempertahankan pendedahannya adalah benar dan beliau tidak perlu membuktikannya, sambil menegaskan akan menyelesaikan isu itu secara tertutup.

Khairy juga mengakui terpaksa akur dengan arahan berkenaan walaupun tidak pernah bersedia untuk bertanding di mana-mana kawasan Parlimen lain, memandangkan sudah lebih 20 tahun berpolitik di Rembau. – Malaysiapost

Komen